PALEMBANG, 18 Julai 2025 – AirAsia Malaysia (kod penerbangan AK) secara rasmi menyambung semula penerbangan antarabangsa dari Kuala Lumpur ke Palembang, Indonesia, sekali gus mengembalikan status antarabangsa Lapangan Terbang Sultan Mahmud Badaruddin II.
Penerbangan sulung yang berlepas hari ini bukan sahaja memperkukuh hubungan udara antara Malaysia dan Indonesia, malah dijangka merangsang pertumbuhan sektor pelancongan dan ekonomi di Sumatera Selatan serta bandar-bandar sekitarnya.
Gabenor Sumatera Selatan, H. Herman Deru, menyambut baik penyambungan semula penerbangan ini dan menjangkakan kesan positif terhadap industri pelancongan tempatan.
“Kadar Penghunian Bilik (TPK) bagi hotel bertaraf di Sumatera Selatan telah mencapai 51.85 peratus pada tahun 2024. Kami yakin kadar ini akan meningkat dalam masa terdekat hasil sambungan antarabangsa ini,” katanya merujuk data BPS-Statistik Indonesia.
Indonesia menyasarkan antara 14.6 hingga 16 juta pelancong antarabangsa pada tahun ini, dan sambungan ke bandar sekunder seperti Palembang dijangka menyumbang kepada pencapaian sasaran tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Dato’ Kapten Fareh Mazputra, menyifatkan Palembang sebagai destinasi penting dalam rangkaian pasca pandemik AirAsia, khususnya bagi perjalanan pulang ke kampung sempena Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.
“Kami berbesar hati dapat mengembalikan semula perkhidmatan ke Palembang. Laluan ini bukan sahaja menyatukan keluarga dan budaya, tetapi membuka peluang baharu dalam pertukaran ekonomi, pelaburan dan pelancongan,” katanya.
Dengan pelancaran laluan harian baharu ke Palembang, AirAsia kini mengendalikan sebanyak 205 penerbangan mingguan antara Malaysia dan Indonesia.
AirAsia Malaysia (AK) kini menerbangkan penumpang dari Kuala Lumpur ke 15 destinasi utama di Indonesia, termasuk Jakarta, Bali (Denpasar), Medan, Yogyakarta, Banda Aceh, Makassar, Padang, Pekanbaru, Balikpapan, Labuan Bajo, Lombok, Palembang dan Semarang (bermula 5 September 2025), serta dari Pulau Pinang ke Jakarta dan Medan.
Langkah ini memperkukuh kedudukan AirAsia sebagai syarikat penerbangan serantau yang memainkan peranan penting dalam menghubungkan bandar-bandar utama dan sekunder di ASEAN, sekaligus membuka lebih banyak akses ekonomi dan budaya antara komuniti Malaysia dan Indonesia.