MAHARASHTRA, INDIA: Seorang gadis, Ritika Dhere, 21 tahun, mencetuskan kemarahan dan kejutan di seluruh India selepas dipercayai melahirkan bayi secara senyap di dalam sebuah bas awam sebelum membuangnya ke luar tingkap, dalam kejadian yang berlaku di negeri Maharashtra.
Lebih mengejutkan, selepas kejadian itu, Ritika dilaporkan melarikan diri bersama kekasihnya seorang lelaki dikenali sebagai Altaf Shaikh, yang dipercayai mengetahui tentang kehamilannya dan menjadi pendorong kepada tindakan tersebut.
Menurut laporan, kejadian berlaku ketika bas milik Maharashtra State Road Transport Corporation (MSRTC) sedang dalam perjalanan dari Mumbai ke Satara.
Ritika yang duduk di bahagian belakang bas dipercayai melahirkan bayi secara senyap dengan menggunakan kain sari untuk menutup proses bersalin.
Tanpa pengetahuan penumpang dan pemandu, Ritika kemudian membuang bayi itu ke luar tingkap bas, dipercayai bertujuan menyembunyikan kelahiran tersebut daripada diketahui orang ramai termasuk ahli keluarganya.
Orang awam yang menemui mayat bayi di tepi jalan segera memaklumkan kepada polis sebelum pihak berkuasa berjaya menghentikan bas dan menahan Ritika namun beliau kemudian melarikan diri bersama Altaf dalam keadaan tergesa-gesa, menurut saksi di lokasi.
Pihak polis Satara mengesahkan telah membuka siasatan di bawah Seksyen 302 dan 318 Kanun Keseksaan India yang berkaitan dengan pembunuhan dan pelupusan mayat secara tidak sah.
“Kami sedang giat menjejaki pasangan ini. Kami percaya Ritika bertindak atas tekanan dan pengaruh daripada pasangannya. Pasangan itu kini dalam buruan,” kata seorang pegawai penyiasat.
Menurut siasatan awal, Ritika telah melarikan diri dari rumah bersama Altaf Shaikh beberapa minggu lalu, dan dipercayai hidup dalam keadaan terdesak dan bersembunyi sejak diketahui dirinya hamil luar nikah.
Insiden tragik ini mendapat kecaman luas daripada masyarakat dan netizen di India. Banyak pihak menyifatkan tindakan Ritika sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan, namun pada masa yang sama menyeru agar lebih banyak sistem sokongan ditawarkan kepada wanita muda yang berdepan kehamilan tidak dirancang.
Organisasi wanita dan pertubuhan kebajikan juga mendesak pihak kerajaan agar memperkuat pendidikan kesihatan reproduktif, perkhidmatan kaunseling, dan rumah perlindungan untuk mengelakkan insiden seperti ini daripada terus berlaku.
Siasatan lanjut masih dijalankan, dan pihak berkuasa meminta kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan Ritika Dhere dan Altaf Shaikh agar segera melaporkannya kepada polis.