KOTA BELUD: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah berjaya membina baharu dan menaik taraf sebanyak 98 premis Tamu Desa di Sabah dan Sarawak menerusi Belanjawan 2024 dengan peruntukan berjumlah RM19 juta.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick, berkata demikian ketika merasmikan tiga buah Tamu Desa baharu di Kampung Takulung, Kampung Lasau dan Kampung Rosok dalam daerah Kota Belud, semalam.
“Tiga Tamu Desa ini merupakan sebahagian daripada 22 premis Tamu Desa yang dibina dan dinaik taraf di sekitar Kota Belud dalam Fasa 1 dan 2, melibatkan peruntukan RM4.749 juta pada tahun 2024,” katanya.
Menurut Ewon, KUSKOP komited meneruskan usaha memperkasa prasarana usahawan luar bandar dan untuk tahun 2025, kementerian telah mengenal pasti 46 tapak baharu Tamu Desa di Sabah dengan peruntukan RM10 juta.
Beliau berharap kemudahan ini dapat memberikan keselesaan yang lebih baik kepada para peniaga dan pengunjung serta dimanfaatkan oleh masyarakat untuk pelbagai aktiviti.
“Tamu ini bukan sahaja untuk jual beli, malah boleh dimanfaatkan untuk aktiviti sukan, keramaian, taklimat dan perjumpaan rakyat,” katanya lagi.
Ketiga-tiga Tamu Desa yang dirasmikan semalam ialah, Tamu Desa Kampung Takulung (beroperasi setiap Selasa); Tamu Desa Kampung Lasau** (Rabu); dan Tamu Desa Kampung Rosok (Khamis)
Terdahulu, Ewon turut melancarkan Happy Hour Jualan MADANI Koperasi di Kampung Lasau Minunsud, yang menawarkan potongan harga sehingga 50 peratus bagi semua barangan jualan sebagai usaha membantu meringankan beban rakyat dan menyokong koperasi serta usahawan tempatan.
Beliau juga meluangkan masa menyantuni peniaga-peniaga tempatan dan membeli barangan jualan sebagai tanda sokongan terhadap keusahawanan desa.
Turut hadir dalam program berkenaan ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) KUSKOP, Datuk Saidatu Akhma Hassan, wakil-wakil agensi di bawah KUSKOP, dan pemimpin tempatan.