Advertisement

Penjenayah Chandan Mishra Ditembak Mati Dalam ICU Hospital di Patna, India

PATNA, INDIA: Dalam kejadian yang mengejutkan dan mencetuskan kebimbangan serius terhadap tahap keselamatan, Chandan Mishra, seorang penjenayah yang sedang menjalani rawatan di ICU setelah dibebaskan dengan parol, telah ditembak mati oleh lima lelaki bersenjata di Paras HMRI Hospital di Patna awal pagi kelmarin.

Memetik The Times of India, kejadian berlaku kira-kira jam 7.15 pagi waktu tempatan apabila lima lelaki bersenjata memasuki wad tingkat dua hospital dan membuka tembakan berhampiran katil Mishra.

CCTV merekodkan insiden tersebut berlaku dalam masa kurang 30 saat, selepas itu penembak melarikan diri tanpa halangan.

Mishra, 36 tahun merupakan banduan yang dibebaskan dengan parol untuk menjalani rawatan selepas pembedahan hati. Beliau sedang menjalani rawatan di hospital swasta tersebut.

Mishra pernah disabitkan dengan pembunuhan seorang usahawan pada 2011, dan mempunyai lebih 24 kes jenayah termasuk kesalahan di bawah Akta Senjata.

Polis percaya pembunuhan ini berpunca daripada persaingan antara kumpulan gengster, khususnya ketegangan antara kumpulan Mishra dengan geng Sheru.

Insiden ini mendedahkan kelemahan luar biasa dalam langkah-langkah keselamatan hospital apabila penjenayah bebas masuk ke ICU tanpa sebarang halangan.

Polis sedang menyiasat sama ada berlaku perancangan (recce) awal oleh kumpulan penyerang. CCTV dikongsi dengan polis Buxar untuk pengecaman suspek, dan beberapa individu sudah ditahan untuk membantu siasatan.

Siasatan turut meneliti kemungkinan penglibatan kakitangan hospital kerana beberapa masuk dan keluar tanpa disekat dikesan.

Insiden ini menimbulkan kemarahan netizen dan pengkritik kerajaan Bihar, terutamanya dari pemimpin pembangkang seperti Tejashwi Prasad Yadav, yang mempersoalkan tahap keselamatan awam dan isu “adakah sesiapa pun selamat di Bihar?”

Polis dan kerajaan negeri memberi jaminan untuk menubuhkan pasukan khas dan mempertingkatkan langkah keselamatan dalam hospital serta mengambil tindakan tegas terhadap dalang dan perancang jenayah ini .