KUDAT: Ahli Parlimen Kudat, Datuk Verdon Bahanda menegaskan bahawa calon bebas bukan alat politik untuk merebut kuasa, sebaliknya adalah suara tulen rakyat yang sering diketepikan dalam proses pembentukan kerajaan.
“Berapa kali sudah kita dengar ayat seperti ini? Seolah-olah perjuangan kami hanya helah untuk merebut kuasa,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Beliau menolak persepsi umum bahawa calon bebas akhirnya akan tetap menyebelahi parti.
Menurutnya, calon bebas bukan menolak kerjasama, tetapi menolak sistem yang meminggirkan suara rakyat.
“Yang kita risaukan ialah apabila kerajaan dibentuk tanpa langsung melibatkan suara rakyat yang sebenar.
“Keputusan sering dibuat di meja rundingan ketua-ketua parti, sedangkan suara rakyat di kampung, di pekan, di pedalaman langsung tidak diambil kira,” katanya.
Beliau menambah bahawa calon bebas hadir untuk memastikan wujudnya semak dan imbang dalam politik yang kian didominasi oleh elit parti.
“Pemimpin boleh bertukar, parti boleh silih berganti, tetapi mandat rakyat tidak boleh diabai.
“Kuasa sebenar itu bukan milik parti. Kuasa sebenar itu milik rakyat,” tegasnya.
Verdon berkata calon bebas perlu dilihat sebagai benteng daripada penyalahgunaan kuasa, dan rakyat wajar menjadi penentu sebenar masa depan negeri.
“Rakyatlah penentu masa depan wilayah ini, bukan ketua-ketua parti,” katanya.
Kenyataannya muncul ketika suhu PRN Sabah kian meningkat, dengan calon bebas dilihat menawarkan alternatif kepada politik tradisional yang semakin hilang sentuhan dengan akar umbi.