Advertisement

Empat Lelaki Warga Asing Ditahan Polis, 40 Bilah Pisau Taji Dirampas di Tawau – Sabah News

TAWAU: Polis menahan empat lelaki warga asing selepas mereka disyaki memiliki 40 bilah pisau taji dalam satu serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Apas Parit, Tawau, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, tangkapan dibuat dalam satu operasi khas kira-kira jam 3 petang oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Wildlife Crime Perisikan Siasatan Khas, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Bukit Aman.

Tangkapan tersebut turut dijayakan dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau dan Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau.

“Semasa serbuan dilakukan, keempat-empat suspek sedang berada di rumah berkenaan. Pasukan polis telah memperkenalkan diri sebelum bertindak menahan kesemua suspek serta merampas 40 bilah pisau taji yang disembunyikan di lokasi tersebut,” katanya.

Menurutnya, kesemua suspek berusia antara 31 hingga 52 tahun dan hanya seorang daripada mereka memiliki pasport sah, manakala tiga lagi tidak mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah.

Tambah beliau, semua suspek bekerja sebagai buruh di kawasan berkenaan, tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

“Siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 6 Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Superintendan Champin turut menggesa orang ramai agar menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah kepada pihak polis bagi memastikan keselamatan awam terus terpelihara.

“Pemilikan senjata tersebut adakah satu kesalahan serius. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang ini,” katanya.