Advertisement

Kes Buang Bayi, Pelacuran dan Perjudian Atas Talian di Lahad Datu Disiasat Serentak – Sabah News

LAHAD DATU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Lahad Datu kini sedang menjalankan siasatan terhadap tiga kes jenayah berasingan yang berlaku dalam tempoh dua hari terakhir, melibatkan kes buang bayi, kegiatan pelacuran dan aktiviti perjudian atas talian.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail berkata, dalam kejadian pertama, seorang bayi lelaki yang masih hidup telah ditemui ditinggalkan di hadapan sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Burung, Jalan Bakawali, pada 18 Julai 2025 kira-kira jam 3.06 pagi.

“Bayi tersebut telah diselamatkan oleh orang awam sebelum dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut dan difahamkan, keadaan bayi kini stabil.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan atas kesalahan membuang bayi dengan niat untuk menghapuskannya secara kekal. Sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.

Manakala, pada 17 Julai 2025 jam 10.30 malam, satu operasi Op Noda dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Lahad Datu di sebuah hotel di pusat bandar.

“Dalam operasi itu, seorang wanita tempatan berusia 21 tahun ditahan kerana disyaki menawarkan perkhidmatan seks melalui aplikasi MiChat dengan bayaran antara RM250 hingga RM350.

“Turut dirampas adalah sebuah telefon bimbit, beberapa keping kondom, serta sejumlah wang tunai. Kes disiasat di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun, denda, atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan,” jelasnya lagi.

Seterusnya, pada hari yang sama, jam lebih kurang 2.30 petang, seorang lelaki tempatan berumur 24 tahun ditahan oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Lahad Datu di Lorong Lahad Datu Square 1.

Lelaki tersebut disyaki menjalankan aktiviti perjudian atas talian, dengan rampasan melibatkan satu unit telefon pintar yang mengandungi aplikasi berkaitan perjudian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM10,000 hingga RM100,000 dan penjara tidak melebihi lima tahun jika disabitkan kesalahan.

Dalam pada itu, ACP Dzulbaharin menegaskan bahawa pihaknya memandang serius semua bentuk jenayah sosial yang boleh mengancam kesejahteraan masyarakat, khususnya melibatkan penganiayaan bayi, pelacuran dan perjudian.

“Tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat demi keselamatan dan keharmonian komuniti setempat,” tegas beliau.