SOOK: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) komited memperkasa sektor pertanian berasaskan nilai tinggi di kawasan pedalaman Sabah menerusi perluasan projek tanaman nanas MD2 yang dijangka membuka lembaran baharu kepada pembangunan ekonomi luar bandar.
Timbalan Menteri KPKM, Datuk Arthur Joseph Kurup, berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Tanaman Nanas MD2 anjuran Lembaga Kemajuan Tanah Sabah (SLDB) di sini, semalam.
“Walaupun projek asal di kawasan ini adalah sawit, bukan semua tanah sesuai untuk tanaman tersebut. Saya menyokong inisiatif SLDB untuk mengoptimumkan kawasan ini dengan tanaman bernilai tinggi seperti nanas yang mampu meningkatkan pendapatan rakyat,” katanya.
Melalui kerjasama strategik ini, KPKM telah menyalurkan RM1 juta kepada SLDB di bawah Program Mengoptimumkan Penggunaan Tanah Dengan Kerjasama Kerajaan Negeri bagi memulakan projek berkenaan.
Fasa pertama melibatkan 6 hektar tanah dengan penanaman 250,000 sulur nanas yang dijangka memberi manfaat kepada 695 peserta tempatan dan hasil tuaian pertama dijangka diperoleh dalam tempoh 12 hingga 15 bulan.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengurus Besar SLDB, Datuk Syaheddrul R Joddari, Pengerusi LPNM, Haji Sheikh ‘Umar Bagharib Ali, serta Ketua Pengarah LPNM, Mohd Khairuzamri M. Salleh.
Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) akan turut terlibat bagi membina rantaian industri nanas di kawasan ini termasuklah dari aspek penanaman, pemasaran, dan pemprosesan hiliran.
Sementara itu, Datuk Arthur turut merasmikan Taklimat Asas Penanaman Nanas kepada komuniti Kampung Sakikilo, Sook.
Projek kelompok nanas MD2 di kampung tersebut akan melibatkan 42 keluarga dan pada majlis itu, sebanyak 5,000 sulur nanas, 300kg baja, serta sebuah mesin mini tiller telah diserahkan untuk kegunaan projek komuniti.
“Buah nanas dipilih kerana ia sesuai ditanam di kawasan ini, mempunyai potensi pasaran yang tinggi, dan mampu dikembangkan kepada industri hiliran. Untuk capai tahap perindustrian, kita mesti tanam secara terancang, tersusun dan berkelompok, barulah boleh capai skala besar,” ujar Arthur.
Beliau menyatakan hasrat untuk melihat Sook muncul sebagai pusat industri nanas bagi kawasan pedalaman Sabah, dengan sokongan penuh daripada LPNM dan Lembaga Pertubuhan Peladang Malaysia.
Usaha ini dijangka bukan sahaja menambah hasil pertanian negara, malah membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta meningkatkan pendapatan dan kesejahteraan komuniti luar bandar di Sabah.