KOTA KINABALU: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) menegaskan bahawa kerja menaik taraf Jalan Sinulihan-Dambai di Inanam akan menjadi antara keutamaan utama sekiranya diberi mandat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Ketua KDM Inanam, Datuk George Guntarik berkata laluan itu penting sebagai jalan alternatif yang dapat mengurangkan kesesakan teruk di pekan Inanam.
“Walaupun ada usaha menangani kesesakan seperti pembinaan jalan pintas dari Taipan ke Kionsom berhampiran Klinik Inanam, ia masih belum mencukupi dalam jangka masa panjang,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Menurut George, Jalan Sinulihan-Dambai berpotensi menjadi penghubung strategik ke Lebuhraya Pan Borneo berhampiran Kionsom, sekali gus memberi manfaat kepada penduduk di kampung sekitar seperti Kg Kionsom, Pomotodon dan Kitobu.
“Apabila Pan Borneo siap sepenuhnya nanti, jalan ini akan menjadi laluan alternatif penting bagi pengguna dari kawasan Menggatal ke jalan utama Inanam-Kota Kinabalu tanpa perlu melalui pekan Inanam,” jelasnya.
Namun katanya, jalan tersebut kini sempit dan rosak di beberapa bahagian, menyebabkan keperluan untuk dinaik taraf semakin mendesak.
Beliau turut berharap kerajaan negeri mempercepat pelaksanaan projek tersebut demi kemudahan penduduk setempat dan kelancaran trafik di kawasan itu.
Selain isu jalan, George turut meluahkan kebimbangan terhadap masalah bekalan air yang semakin meruncing di Inanam, yang menurutnya turut menjejaskan aktiviti harian penduduk serta perniagaan di Inanam dan Menggatal.