Advertisement

Ketua Menteri Difitnah, G57 Tuntut Siasatan Segera Ke Atas Penyebar, Cabar Albert Tei Saman  – Sabah News

KOTA KINABALU: Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar hari ini membuat laporan polis terhadap blog Malaysianspeaks serta beberapa individu yang didakwanya menyebarkan fitnah terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Laporan tersebut merujuk kepada penyebaran sekeping foto tular memaparkan CEO Sabah Mineral Management (SMM), Natasha Sim, bersama beberapa individu di hadapan sebuah pesawat jet peribadi, yang kononnya digunakan untuk mengaitkan Hajiji dengan skandal rasuah berkaitan kelulusan lesen mineral di Sabah.

“Gambar itu langsung tidak menunjukkan kelibat Datuk Seri Hajiji, namun digunakan secara tidak bertanggungjawab untuk mewujudkan persepsi kononnya beliau terlibat dalam urusan tidak sah,” tegas Zulkarnain dalam sidang media selepas membuat laporan polis di IPD Sri Petaling.

Menurut beliau, penyebaran naratif tersebut turut dimainkan secara agresif oleh portal berita Malaysiakini, jentera siber parti Warisan serta UMNO Sabah termasuk beberapa pemimpin mereka.

“Saya tidak faham bagaimana gambar tanpa kehadiran Hajiji boleh dijadikan asas untuk menuduh beliau menerima sogokan. Ia adalah taktik kotor, jijik dan penuh niat jahat menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17,” katanya.

Zulkarnain mendakwa tuduhan itu bermotif politik dan didalangi oleh individu yang ingin menggulingkan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah – Pakatan Harapan (GRS–PH).

Katanya, isu itu adalah kesinambungan daripada usaha beliau sendiri yang sebelum ini membongkar skandal kartel mineral melibatkan Datuk Albert Tei, termasuk membuat laporan rasmi terhadapnya.

Beliau turut mendedahkan bahawa Datuk Seri Hajiji pernah ditawarkan rasuah sebanyak RM5 juta oleh Datuk Albert Tei tetapi menolak dengan tegas, malah pernah mengugut untuk membuat laporan polis sekiranya cubaan itu diteruskan.

“Kalau betul Hajiji nak duit, dia sudah ambil wang itu lama dulu. Tapi beliau tolak demi mempertahankan integriti dan khazanah negeri Sabah,” katanya.

Zulkarnain juga mempersoalkan mengapa tiada laporan rasmi dibuat terhadap Natasha Sim sekiranya benar berlaku sebarang salah laku, sebaliknya media tertentu memilih untuk menyebarkan naratif fitnah berasaskan satu gambar yang belum disahkan kesahihannya.

“Kalau benar ada kesalahan, buatlah laporan ke SPRM. Tapi mereka lebih selesa cipta persepsi jahat demi menjatuhkan seorang pemimpin berintegriti,” katanya lagi.

Beliau menegaskan bahawa prestasi kerajaan negeri pimpinan Hajiji telah membuktikan kejayaan melalui peningkatan rizab kewangan negeri daripada RM3.3 bilion kepada RM8 bilion dalam tempoh lima tahun serta kemasukan pelabur asing berskala besar ke Sabah.

“Sabah kini menjadi sasaran kerana kekayaannya minyak, gas danemas. Sebab itu mereka mahu rampas semula Sabah dari tangan GRS–PH dengan apa cara sekalipun,” ujarnya.

Zulkarnain menyeru pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bertindak tegas terhadap pihak-pihak yang menyebarkan fitnah, sambil menegaskan bahawa rakyat Sabah perlu membuka mata dan tidak mudah terpedaya dengan permainan politik yang tidak beretika.

“Datuk Seri Hajiji adalah benteng terakhir rakyat Sabah. Kalau beliau tumbang kerana fitnah, masa depan Sabah akan gelap,” katanya.

Zulkarnain turut mengesahkan beliau bukan ahli mana-mana parti politik, namun akan terus berjuang mempertahankan kebenaran menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17.