Advertisement

Sabah Dinobat Negeri Paling Cemerlang 2024, Kukuh Sebagai Pemacu Pelaburan dan Ekonomi Hijau – Sabah News

KOTA KINABALU: Sabah dinobat sebagai Negeri Paling Cemerlang Malaysia 2024 (Most Outstanding State in Malaysia for the Year 2024) sempena Anugerah ASEAN International Business Review (IBR) di SICC, Sabtu malam.

Anugerah disampaikan oleh Ketua Hakim, Datuk Seri Azman Ujang dan diterima Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun bagi mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor. 

Pengiktirafan ini berdasarkan penilaian menyeluruh oleh panel profesional dan pakar pelbagai bidang.

Dalam ucapannya, Hajiji berkata Sabah kini berada di landasan kukuh hasil lima tahun transformasi ke arah negeri yang kuat, bersatu dan berdaya saing, dengan fokus kepada pelaburan dan ekonomi mampan.

Sejak 2020, Sabah mencatat RM17.41 bilion pelaburan diluluskan dan RM42.3 bilion lagi dalam cadangan baharu, mewujudkan lebih 36,000 peluang kerja. Sabah juga memperoleh pegangan dalam industri minyak dan gas menerusi kerjasama dengan Petronas termasuk projek LNG USD3.1 bilion di Sipitang.

Projek RM31 bilion oleh Esteel dan pembangunan tiga taman perindustrian baharu di Kota Belud, Beaufort dan Kudat dijangka merangsang pertumbuhan sektor hijau dan teknologi tinggi.

Sabah turut menerajui Ekonomi Biru, dengan hab di Kudat yang dijangka menyumbang RM3.25 bilion setahun.

Antara inisiatif utama ialah projek tenaga laut OTEC yang dirancang menjana 20,000MW iaitu skala terbesar seumpamanya di dunia.

Pelan Tenaga Sabah 2040 menyasar tambahan 700MW dalam masa terdekat, manakala RM679.85 juta diperuntukkan untuk mengatasi isu bekalan air.

Sabah juga melabur hampir RM1 bilion bagi pembangunan pendidikan dan belia dari 2021 hingga 2024.

Pengiktirafan sebagai negeri paling cemerlang ini mengukuhkan lagi status Sabah sebagai destinasi pelaburan utama dan model pembangunan lestari di Malaysia.