Advertisement

Bot Hantar Bekalan Air, Bocor di Lahad Datu, Enam Mangsa Selamat  – Sabah News

LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Lahad Datu telah menyelamatkan enam mangsa apabila bot fiber yang dinaiki telah mengalami kebocoran di Perairan Pulau Timbun Mata, Kunak semalam.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, Pusat Operasi Zon Maritim Lahad Datu telah menerima panggilan pada pukul 1.45 petang daripada Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Kota Kinabalu memaklumkan terdapat sebuah bot fiber yang ditugaskan menghantar bekalan air reverse osmosis (RO) ke Pos Pasukan Gerakan Am (PGA) mengalami kebocoran selepas terlanggar kayu hanyut. 

“Ketika kejadian, Bot BANGGI 45 yang sedang melakukan rondaan rutin bergegas ke tempat kejadian bagi menyelamatkan mangsa selepas menerima laporan. 

“Bot BANGGI 45 telah diaturgerak ke lokasi berkenaan berjaya menemukan enam mangsa di Perairan Pulau Batik, Kunak dengan bantuan pam bot kerana keadaan laut yang cetek

“Kesemua mangsa ditemui dalam keadaan selamat dan tiada kecederaan yang dilaporkan,” jelas beliau.

Sementara itu, tiga mangsa iaitu Lajim Paisal, 37 tahun bersama dua anaknya berumur 10 dan 6 tahun dibawa pulang ke jeti Perikanan Lahad Datu dengan selamat.

Manakala tiga lagi mangsa, Adim Salemu, 42, Aswan Mohd Akram, 29, dan Fauzi Saikula, 30 tahun, menunggu ketibaan bot syarikat ke Pulau tersebut bagi tujuan pembaikan bot fiber tersebut. Ketiga-tiga mereka selamat tiba di darat pukul 2.00 pagi tadi.

Maritim Malaysia mengingatkan semua pengendali bot agar memastikan kesemua kru serta penumpang memakai jaket keselamatan setiap kali mengendalikan bot.

“Ini bukan sahaja prosedur operasi standard, tetapi juga langkah penting untuk menggelakkan kehilangan nyawa sekiranya berlaku insiden semasa di laut,” tambah Dzulfikhar.