TAWAU: Seorang lelaki bertindak ganas apabila mengacukan pisau ke arah jirannya selepas dipercayai mencalarkan kereta milik mangsa dalam kejadian di Taman Ria 3, di sini pada Jumaat lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superitendan Champin Piuh berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.27 pagi apabila mangsa yang berusia 35 tahun menyedari keretanya telah diconteng dan dicalarkan oleh suspek.
“Mangsa cuba menegur suspek, namun suspek bertindak lebih agresif dengan mengugut menggunakan sebilah pisau. Mangsa yang bimbang akan keselamatannya segera membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan media semalam.
Bertindak atas laporan tersebut, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau telah melakukan serbuan kira-kira jam 3.15 petang dan berjaya menahan suspek yang berada bersebelahan rumah mangsa.
“Pihak polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu,” ujarnya.
Menurut beliau, suspek merupakan warga tempatan berusia 44 tahun dan kini disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah serta Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.
Tambah Superitendan Champin, semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai dua rekod kesalahan jenayah membabitkan Akta Pencegahan Dadah (APD) dan Akta Dadah Berbahaya (ADB) pada tahun 2012 dan 2025.
Beliau menegaskan bahawa polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk keganasan atau ancaman yang boleh menjejaskan keselamatan awam.
“Polis menyeru orang ramai agar segera melaporkan sebarang kegiatan jenayah atau perlakuan mencurigakan agar keselamatan komuniti terus terjamin,” katanya lagi.