Advertisement

Lelaki Maut Selepas Bot Karam Ketika Memancing di Kinabatangan – Sabah News

KINABATANGAN: Aktiviti memancing bertukar tragedi apabila seorang lelaki ditemukan maut selepas bot yang dinaiki bersama tiga rakannya karam di Sungai Kinabatangan berhampiran Ladang Temenggong, tengah hari kelmarin.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu daripada Balai Polis Kinabatangan pada jam 11.49 pagi.

Susulan itu, tiga anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 115 kilometer dan tiba pada jam 3 petang.

“Sebaik tiba, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan bersama 20 orang awam menggunakan bot penduduk setempat secara teknik pencarian permukaan (surface searching),” katanya.

Difahamkan, bot berkenaan dinaiki empat lelaki yang sedang memancing sebelum ia karam secara tiba-tiba. Tiga daripada mereka berjaya menyelamatkan diri, manakala seorang lagi hilang.

“Pada jam 6.30 petang, mangsa ditemukan oleh orang kampung kira-kira 15 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang. Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak polis di lokasi kejadian,” katanya lagi.

Mangsa dikenali sebagai Adzly Kassim, berusia 46 tahun.

Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7 malam setelah keadaan disahkan selamat.

Operasi diketuai oleh PBK II Jerry John dengan kerjasama PDRM dan penduduk setempat.

JBPM Sabah mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan menyeru orang ramai agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan ketika menjalankan aktiviti di kawasan sungai dan perairan terbuka.