Oleh: Mirlen Axtius
KOTA KINABALU: Presiden Majlis Belia Sabah (MBS), Abqaree Fawwaz Abekan, menyuarakan rasa kesal dan mengecam sekeras-kerasnya insiden buli yang didakwa sehingga meragut nyawa pelajar tingkatan satu, baru-baru ini di Papar.
Abqaree menyifatkan kejadian itu sebagai keji dan menghina nilai murni masyarakat Sabah yang terkenal dengan budaya lemah lembut dan berbudi bahasa.
“Perkara buli ini tidak mencerminkan budaya kita di Sabah. Orang Sabah terkenal dengan budi pekerti yang halus. Tapi bila kita lihat ada insiden buli begini, kami di peringkat MBS amat kecewa dan kesal,” tegasnya ketika ditemui media selepas menyempurnakan The TCG Event II di pusat beli-belah 1Borneo pada Ahad.
Menurut Abqaree, gejala buli bukan sahaja mencederakan fizikal mangsa, malah turut merosakkan pembangunan karakter serta masa depan golongan belia. Beliau menyifatkan budaya buli sebagai penghalang kepada pembentukan generasi berakhlak dan berdaya saing.
“Buli tidak membawa apa-apa faedah. Ia meruntuhkan institusi belia dan lahirkan generasi yang hidup dalam ketakutan serta tiada akhlak. Kalau tak puas hati, kita ada saluran seperti guru kaunseling, pihak sekolah, polis. Tidak perlu ambil tindakan sendiri,” katanya.
Mengulas lanjut, Abqaree menegaskan bahawa pendidikan akhlak bermula dari rumah, dan ibu bapa memainkan peranan penting dalam membentuk jiwa anak-anak agar tidak terjerumus ke dalam perbuatan buli.
“Masalah buli datang dari jiwa yang kacau. Bila anak tak dapat kasih sayang di rumah, mereka akan lepas geram pada orang lain. Jadi, ibu bapa perlu sentiasa mendampingi anak-anak, beri kasih sayang dan ajar hormat menghormati,” katanya.
Beliau menyeru agar seluruh komuniti bersatu menangani isu buli melalui pendekatan bersepadu antara institusi keluarga, sekolah dan pihak berkuasa demi membina masyarakat yang sejahtera dan aman.
“Saya mengutuk sekeras-kerasnya segala bentuk buli termasuk fizikal, emosi, siber. Kita semua ada tanggungjawab membina masa depan anak-anak Sabah,” ujarnya.