Advertisement

PRN Sabah: GRS Sudah Bincang Dengan PH, Keputusan Muktamad Akan Diumum Kelak – Hajiji – Sabah News

Oleh: Mirlen Axtius

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah mengadakan beberapa siri perbincangan bersama pimpinan Pakatan Harapan (PH) termasuk Perdana Menteri, kata Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor.

Namun katanya, keputusan muktamad berhubung kerjasama menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah hanya akan diumumkan pada masa yang sesuai.

“Kita sudah berbincang beberapa kali, termasuk dengan Perdana Menteri merangkap Pengerusi PH dan keputusan muktamad akan kita umumkan apabila tiba waktunya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah Siri Ke-36 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) hari ini.

Hajiji yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) mengesahkan bahawa Perhimpunan Agung parti itu akan berlangsung hujung minggu ini selama tiga hari dan menyifatkannya sebagai perhimpunan penting menjelang pilihan raya yang boleh diadakan pada bila-bila masa selepas itu.

“Ini keperluan dalam perlembagaan parti dan kebetulan mesyuarat ini dianggap penting kerana kita akan menghadapi pilihan raya bila-bila masa saja selepas perhimpunan tersebut. Jadi kita tunggulah,” katanya.

Ketika ditanya sama ada GRS akan bertanding di majoriti kerusi, Hajiji menjawab ringkas, “Mestilah.”

Mengenai kedudukan parti-parti komponen lain seperti PBS dan STAR, Hajiji menjelaskan bahawa pihaknya sedang meneliti aspirasi politik tempatan sebelum membuat sebarang keputusan rasmi.

“Kita akan buat keputusan terbaik untuk Sabah kerana bagi kita, kestabilan politik itu amat penting, bukan semata-mata untuk menang PRN tetapi juga memastikan selepas PRN kita dapat membentuk kerajaan yang stabil. Dari situ barulah kita boleh merancang dan membangunkan negeri dengan baik,” jelas Ketua Menteri itu.