Advertisement

Yonnyboii Capai Impian Bekerjasama Dengan Malique Dalam Lagu ‘Tanya Tuhan’ – Sabah News

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer terkenal, Yonnyboii akhirnya menunaikan impian terbesarnya apabila berjaya bekerjasama dengan ikon muzik tanah air, Malique menerusi lagu terbaharu berjudul Tanya Tuhan.

Lagu tersebut turut menampilkan sentuhan kreatif LastKhalif selaku penerbit, dengan lirik hasil gandingan idea Yonnyboii dan Malique sendiri. 

Penyanyi itu menyifatkan kolaborasi ini sebagai antara pencapaian peribadi tertingginya dalam dunia seni.

“Memang saya tak sangka dapat bekerjasama dengan Malique. Ia satu impian yang berjaya saya capai,” katanya.

Yonnyboii turut menzahirkan penghargaan kepada Pengarah Kanan Universal Music Malaysia, Hermond Cheng, atas sokongan yang memungkinkan kerjasama itu terlaksana.

Menurutnya, Tanya Tuhan diilhamkan daripada pengalaman peribadi yang mencerminkan pergelutan emosinya sebagai pemuzik dan bapa, serta saat-saat di mana dia mencari jawapan dalam kekeliruan hidup.

Menambah istimewa, muzik video lagu ini diarahkan oleh sahabat dan pengarah pilihannya, Thaqif yang berjaya menterjemahkan idea unik Yonnyboii ke dalam visual yang menyentuh emosi.

Yonnyboii berharap lagu Tanya Tuhan dapat menyentuh hati pendengar dan menjadi karya ikonik dalam perjalanan seninya.