KOTA KINABALU: Sebanyak RM300,000 diperuntukkan bagi pelaksanaan aktiviti sukan dan rekreasi belia di DUN Petagas, Tanjung Aru dan Tanjung Keramat bagi menggalakkan gaya hidup sihat khususnya di kalangan belia.
ADUN Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari berkata, inisiatif bersama Timbalan Ketua Menteri merangkap ADUN Tanjung Keramat, Datuk Shahelmey Yahya itu merupakan komitmen jangka panjang untuk pembangunan belia.
“Program ini bukan sekadar pertandingan, tetapi medan untuk belia bergaul, bersukan dan menjalani hidup sihat,” katanya pada malam akhir kejohanan bola sepak anjuran Pemuda Gagasan Rakyat di Fut8, Sembulan pada Ahad.
Kejohanan tahunan itu kini masuk tahun kedua dan sebahagian daripada pelbagai aktiviti yang dibiayai di bawah dana RM300,000 tersebut.
Katanya, program-program tersebut disasarkan untuk belia berumur 18 hingga 40 tahun manakala dana akan diurus oleh jawatankuasa bersama yang terdiri daripada pemimpin belia, sayap wanita dan tiga NGO tempatan dari setiap DUN terlibat.
“Salah satu NGO akan mengetuai, tetapi semua akan bekerjasama merancang program yang berimpak,” katanya.
Majlis penyerahan rasmi dana dijangka diadakan dalam dua hingga tiga minggu lagi dan akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Awang Ahmad Sah turut memberi jaminan bahawa setiap permohonan biasiswa dari belia Petagas, Tanjung Aru dan Tanjung Keramat akan dibantu.
“Saya sendiri hantar permohonan ke kerajaan negeri. Hanya yang pendapatan isi rumah melebihi RM12,000–13,000 sebulan ditolak,” jelasnya.
Beliau menegaskan usahanya bukan semata-mata politik, tetapi demi melahirkan generasi Sabah yang sihat, berilmu dan bersedia memimpin.