Advertisement

Datuk Ditahan SPRM Sabah, Tipu RM6,000 Konon Bantu Dapat Darjah Kebesaran Pahang – Sabah News

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah kerana disyaki menipu seorang lelaki bagi mendapatkan darjah kebesaran negeri Pahang melalui bayaran rasuah sebanyak RM6,000.

Menurut sumber, suspek berusia lingkungan 40-an itu ditahan sekitar jam 12 tengah hari kelmarin ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sabah.

“Siasatan awal mendapati suspek sekitar tahun 2023 telah menawarkan bantuan kepada pengadu untuk mendapatkan darjah kebesaran bergelar Datuk dari negeri Pahang, sedangkan dia tiada kuasa untuk berbuat demikian.

“Suspek dipercayai mendorong mangsa memindahkan wang kira-kira RM6,000 kononnya bagi membeli aksesori baju istiadat berkaitan penganugerahan tersebut,” katanya.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy, mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan bahawa suspek telah dibebaskan dengan jaminan RM10,000, namun hanya perlu membayar deposit tunai RM5,000.

Katanya, suspek akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu pada Khamis ini mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

SPRM menasihati orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran palsu berkaitan gelaran kehormatan yang hanya boleh diperoleh melalui saluran sah dan di bawah kuasa rasmi kerajaan negeri.