KUALA LUMPUR: Penyanyi pop rock, Iskandar Zulkarnain yang pernah dikenali sebagai vokalis Projektor Band, kembali mewarnai industri muzik tanah air dengan single solo terbarunya berjudul “Sewaktu Bahagia”, diterbitkan di bawah label Luncai Emas.
Lagu ini merupakan hasil ciptaan Aidil AF dan Jeremy Erskine yang diinspirasikan daripada kisah kekecewaan peribadi mereka dalam percintaan.
Single ini turut mendapat sentuhan penerbit muda Hidayat Nasir, manakala proses rakaman melibatkan kolaborasi dengan pemuzik seperti Zahar (Pitahati), Faliq Mohd, dan Ujang (Exist) sebagai pemain drum.
Menurut Iskandar, lagu ini bukan sahaja mencerminkan sisi emosional dirinya, tetapi menjadi simbol kebangkitannya semula dalam dunia muzik.
“Saya amat bersyukur dan terharu dapat bekerja dengan nama-nama besar termasuk Dato’ M. Nasir yang turut membimbing saya sepanjang proses ini,” katanya.
“Sewaktu Bahagia” akan dilancarkan secara rasmi bersama video lirik di saluran YouTube Luncai Emas dan semua platform digital bermula 25 Julai 2025.
“Iskandar berharap lagu ini akan diterima baik oleh peminat dan menjadi karya yang relevan merentas generasi,” katanya dalam satu kenyataan.