INANAM: Seorang lelaki berusia lingkungan 30-an maut selepas kereta Perodua Axia yang dipandunya terbabas dan terjatuh dari jambatan setinggi 10 meter di Jalan Kionsom, Kampung Kitobu awal pagi tadi.
Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah pasukan bomba BBP Lintas menerima panggilan kecemasan pada jam 3.09 pagi dan tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian.
“Terdapat seorang mangsa lelaki dewasa yang disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan KKM,” katanya lagi.
Pasukan yang terdiri daripada lapan anggota telah mengangkat mayat mangsa menggunakan pengusung sebelum diserahkan kepada pihak polis.
Operasi ditamatkan setelah keadaan disahkan selamat, walau bagaimanapun, identiti mangsa masih belum diperolehi.