Advertisement

Nelayan Vietnam Cuba Rempuh Bot Maritim Malaysia di Kudat – Sabah News

KUDAT: Sebuah vesel nelayan asing (VNA) Vietnam cuba merempuh bot Maritim Malaysia dalam cubaan melarikan diri sebelum berjaya ditahan di perairan Kudat, semalam.

Menurut Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar, vesel itu dikesan jam 4.00 pagi kira-kira 1.22 batu nautika tenggara Tanjung Bukit, Pulau Malawali hasil maklumat awam.

Bot ronda CENDERAWASIH 10 yang menjalankan OP SEJAHTERA dan beberapa operasi lain digerakkan ke lokasi.

“Semasa dihampiri, suspek potong tali tunda, biar tali terjuntai dan pasang palang besi di kiri dan kanan vesel kerana enggan berhenti. Mereka juga cuba rempuh bot ronda,” katanya.

Selepas aksi kejar selama 15 minit, anggota Maritim berjaya naik ke atas vesel dan menghentikannya.

Hasil penggeledahan menemui peralatan besi padu khas untuk menangkap balat, kira-kira 40kg balat serta 300 liter diesel.

Lima lelaki warga Vietnam berumur 28 hingga 39 tahun ditahan tanpa dokumen sah.

Vesel, hasil laut dan peralatan diiring masuk ke jeti untuk siasatan lanjut.

Nilai rampasan dianggarkan lebih RM2 juta manakala kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1956/63.