Advertisement

18 Juta Rakyat Malaysia Bakal Nikmati Harga RON95 Serendah RM1.99 Seliter – Anwar – Sabah News

Oleh: Mirlen Axtius

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini mengumumkan berita menggembirakan buat rakyat apabila kerajaan berhasrat menurunkan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter, melalui pelaksanaan subsidi bersasar yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 18 juta pemandu dan penunggang motosikal di seluruh negara.

Pengumuman itu dibuat dalam satu ucapan khas penghargaan kepada rakyat Malaysia sebentar tadi atas kesabaran dan ketabahan mereka menghadapi tekanan kos sara hidup yang semakin mencabar, walaupun kadar inflasi keseluruhan mencatat penurunan kepada 1.1 peratus pada Jun 2025, terendah dalam tempoh 52 bulan.

“Sama seperti pendekatan subsidi elektrik yang menyaksikan 85 peratus rakyat menikmati penurunan bil, kerajaan memberi jaminan bahawa rakyat biasa tidak akan terjejas. Bahkan mereka akan menikmati penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter,” katanya.

Menurut beliau, penstrukturan semula subsidi ini akan diumumkan secara terperinci menjelang akhir September 2025, dengan jaminan bahawa ia tidak akan membebankan rakyat marhaen, sebaliknya menyasarkan penjimatan perbelanjaan negara dan mengurangkan ketirisan.

Selain subsidi petrol, kerajaan turut mengumumkan empat lagi inisiatif utama bagi meringankan beban rakyat dan meraikan semangat perpaduan sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia termasuk, setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun ke atas akan menerima RM100 secara one-off bermula 31 Ogos hingga 31 Disember 2025 melalui MyKad.

“Bantuan ini boleh digunakan di lebih 4,100 kedai termasuk pasar raya utama dan kedai runcit di seluruh negara.Inisiatif ini melibatkan RM2 bilion peruntukan dan dijangka memanfaatkan 22 juta rakyat.

“Manakala, Isnin, 15 September 2025 ini diisytiharkan hari kelepasan am tambahan sempena Hari Malaysia bagi menggalakkan hubungan kekeluargaan dan percutian dalam negara,” jelasnya.

Inisiatif seterusnya, peruntukan Jualan Rahmah MADANI dinaikkan dari RM300 juta kepada RM600 juta bagi memperluas liputan ke 600 kawasan Dewan Undangan Negeri dan menambah jenis barangan asas.

Terakhir, kerajaan menangguhkan kenaikan kadar tol bagi 10 lebuh raya seperti LPT2, MEX, SKVE dan SDE, dengan kos tanggungan kerajaan melebihi RM500 juta.

Perdana Menteri menegaskan bahawa semua inisiatif ini adalah bukti keprihatinan kerajaan dalam memastikan kekayaan negara diagihkan secara adil dan berkesan untuk kesejahteraan rakyat.

“Ini bukan sekadar bantuan kewangan, ia adalah simbol kasih sayang dan penghargaan kerajaan kepada rakyat yang terus setia bersama dalam perjalanan pembaharuan negara,” ujarnya.

Kerajaan turut menyeru agar rakyat yang mampu, tidak menggunakan bantuan SARA dan membiarkan dana tersebut diagihkan semula kepada golongan rentan menjelang tahun hadapan.