KOTA KINABALU: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, menegaskan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh industri kreatif negara, khususnya di Sabah dan Sarawak, menerusi pelbagai inisiatif strategik seperti Dana Kandungan Kreatif (DKK) yang telah memberi impak besar sejak dilancarkan.
Berucap dalam Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima Dana Kandungan Kreatif di sini semalam, Fahmi berkata sektor kreatif bukan sekadar hiburan, malah berfungsi sebagai enjin pertumbuhan ekonomi, pencipta peluang pekerjaan, dan wahana penting untuk membina naratif kebangsaan.
“Sasaran sumbangan industri kreatif kepada KDNK tahun ini ialah RM31.9 bilion, dan ia kekal sebagai keutamaan Kementerian Komunikasi sejajar Rancangan Malaysia Ke-12,” katanya.
Sehingga Julai 2025, sebanyak 42 permohonan Dana Kandungan Kreatif daripada syarikat Sabah dan Sarawak telah diluluskan melibatkan nilai lebih RM7.43 juta, yang mewujudkan 1,245 peluang pekerjaan secara langsung.
FINAS turut menerima 36 permohonan Dana Program TV (Borneo) dan 24 permohonan Dana Pasca Produksi – yang dinilai secara telus oleh panel profesional dan wakil kementerian.
Fahmi memaklumkan bahawa 14 syarikat produksi telah ditawarkan Dana Program TV (Borneo), 6 daripadanya dari Sabah, melibatkan nilai RM1.15 juta dan mencipta lebih 200 pekerjaan.
Manakala bagi Dana Pasca Produksi, 9 syarikat diterima, termasuk 1 syarikat dari Sabah, dengan nilai hampir RM240,000.
Jumlah keseluruhan kedua-dua dana itu untuk Sabah mencecah RM1.39 juta.
“Dana ini bukan sahaja menyokong penerbitan dan pasca produksi, malah meningkatkan nilai teknikal seperti Dolby Atmos, VFX dan VR dalam hasil karya anak tempatan,” jelasnya.
Fahmi turut menyanjung kejayaan penggiat seni Sabah yang semakin mendapat pengiktirafan antarabangsa, antaranya:
“Sinakagon” – filem berbahasa Dusun pertama di Netflix, arahan Timothy Stephen, yang menang anugerah di Rome dan Milan Independent Film Awards.
“Ninavau” – filem Kadazan arahan Bebbra Mailin, dipilih sebagai Filem Pembukaan MIFFest 2025, satu pencapaian besar untuk karya tempatan.
Fahmi turut mengumumkan langkah baharu hasil perbincangan bersama Ketua Menteri Sabah iaitu, Kementerian Komunikasi melalui FINAS akan bekerjasama dengan BORNEO TV untuk siaran kandungan Dana Program TV (Borneo), selain RTM.
Katanya langkah ini dijangka akan memperluas capaian kandungan tempatan kepada khalayak lebih besar di Sabah dan Sarawak.