KOTA KINABALU: Sabah Mineral Management Sdn. Bhd SMM memaklumkan bahawa, selepas menjalankan siasatan dalaman yang komprehensif, Syarikat telah mengenal pasti beberapa pelanggaran serius terhadap kewajipan fidusiari, dakwaan penipuan, salah penyampaian maklumat kepada Lembaga Pengarah SMM, dan salah laku lain yang melibatkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Jontih Enggihon.
CEO SMM, Natasha Sim berkata, berdasarkan penemuan ini, SMM telah membuat laporan rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut.
“Siasatan dalaman mendapati bahawa Jontih telah bertindak melampaui kuasanya dengan membuat keputusan yang memberi manfaat kepada entiti tertentu yang mempunyai konflik kepentingan, di mana beliau dipercayai bersekongkol dengan pihak ketiga yang mewakili kartel berkepentingan.
“Tindakan-tindakan ini telah dilaksanakan tanpa pengetahuan atau kelulusan Lembaga Pengarah dan secara langsung melanggar dasar serta prosedur tadbir urus korporat Syarikat,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Justeru itu, Natasha berkata, selaras dengan komitmen SMM terhadap ketelusan dan pematuhan undang-undang, syarikat juga telah melantik penasihat undang-undang luar untuk meneliti kemungkinan tindakan sivil terhadap Jontih bagi menuntut ganti rugi atas sebarang kerugian kewangan atau kerosakan reputasi yang ditanggung oleh syarikat.
“Sebagai sebuah entiti yang berpegang teguh kepada standard tadbir urus korporat yang telus dan berintegriti, SMM berhasrat untuk melindungi kepentingan para pemegang taruh serta rakyat Sabah.
“Syarikat tidak akan berkompromi dalam aspek integriti dan akan terus memastikan semua aktiviti operasinya mematuhi standard tertinggi.
“SMM akan bekerjasama sepenuhnya dengan SPRM dan PDRM dalam siasatan ini dan akan terus memberikan kerjasama yang diperlukan bagi memastikan perkara ini diselesaikan mengikut undang-undang Malaysia,” tegasnya.