KOTA KINABALU, SABAH – Seramai 197 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) telah ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen dalam Ops Sapu di rumah kongsi tapak pembinaan perumahan di daerah Tuaran dan Menggatal pada Rabu.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah Datuk Sh Sitti Saleha binti Habib Yussof berkata operasi dengan kekuatan seramai 53 orang pegawai bermula pada jam 12 pagi dan berakhir pada jam 5.00 pagi.
“PATI yang ditahan terdiri daripada warganegara Filipina iaitu seramai 49 orang lelaki dewasa, 54 orang perempuan dewasa, 61 orang kanak-kanak lelaki dan 31 orang kanak-kanak perempuan, manakala warganegara Indonesia seramai dua orang lelaki dewasa.
“Kesemua yang ditahan berumur di antara 7 bulan hingga 62 tahun yang terdiri daripada 85 orang lelaki dan 112 perempuan.
“Tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Papar untuk siasatan dan tindakan susulan,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Sitti menjelaskan pola penempatan lokasi sasaran dibina secara berkelompok di atas bukit dengan keadaan tanah yang berlumpur.
Katanya, kegagalan dalam menyediakan persekitaran rumah yang kondusif menjadi trend yang menyebabkan PATI terpaksa membina rumah dengan keadaan bersempit dan bersesak.
Ini memberi implikasi negatif kepada kehidupan sosial dan perkembangan hidup kesejahteraan kepada kanak-kanak yang berada di kawasan tersebut.
“Semasa serbuan terdapat warga asing yang melarikan diri dan bersembunyi di kawasan semak samun.
“Keadaan jalan berbukit dan curam ditambah dengan pelbagai helah cuba dilakukan PATI berkenaan menyukarkan pergerakan pasukan operasi serta memberi risiko keselamatan termasuk berlaku pergelutan dengan pihak berkuasa.
“Namun keadaan adalah terkawal dan tiada kejadian yang tidak diingini berlaku,” tambahnya.
Antara kesalahan ialah tiada dokumen pengenalan diri Seksyen 6 (1) (c) dan tinggal lebih masa Seksyen 15 (1) (c).
Sitti turut mengingatkan orang ramai yang mempunyai maklumat tentang PATI atau sebarang maklumat yang boleh membantu JIM dalam melaksanakan penguatkuasaan supaya tampil menyalurkan maklumat tersebut.