Advertisement

Polis Tawar Diskaun Kompaun Hingga 60 Peratus Sempena Program Dua Tahun Kerajaan Madani (2TM) – Sabah News

KUALA LUMPUR: Polis menawarkan diskaun kompaun hingga 60 peratus bersempena dengan Program Dua Tahun Kerajaan Madani (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur selama tiga hari bermula Jumaat ini.

Setiausaha Bahagian Komunikasi Korporat, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Fairul Nizam Che Rus berkata, kadar diskaun tahun ini meningkat berbanding 50% yang ditawarkan pada program tahun lepas.

“Untuk tahun ini, kita juga mendapat kawasan (ruang) yang luas, jadi kita dapat menjayakan 25 kaunter untuk pembayaran saman dari Jumaat hingga Ahad, bermula 9 pagi hingga 6 petang,” katanya pada Program Apa Khabar Malaysia di Bernama TV, hari ini.

Memetik FMT, Fairul Nizam turut dilaporkan berkata, KDN menerusi reruai sepanjang program akan turut mengetengahkan perkhidmatan agensi lain bawah kementerian itu, selain menguar-uarkan kejayaan agensi berkenaan sepanjang dua tahun Bawah kerajaan Madani.

Antara pencapaian utama yang akan diketengahkan meliputi aspek keselamatan dan ketenteraman awam, pengurusan warga asing, pengurusan kewarganegaraan dan pengurusan pintu masuk yang menterjemahkan komitmen KDN dalam memastikan negara terus aman dan damai.

“Pada tahun ini, Malaysia menduduki tempat ke-10 bagi Indeks Keamanan Global, jauh daripada tangga ke-19 pada 2023 dan kita (KDN) komited untuk terus kekal berada pada (kedudukan) 10 teratas tahun depan,” katanya yang menyifatkan aspek keamanan penting untuk terus menarik pelabur ke negara ini.

Selain itu katanya, kejayaan KDN dalam pengurusan warga asing dapat dirumuskan menerusi peningkatan operasi dan penguatkuasaan Jabatan Imigresen terhadap pendatang tanpa izin atau mereka yang terlibat dalam penyalahgunaan permit atau dokumen perjalanan masuk.

Fairul Nizam berkata, turut akan uar-uarkan ialah penambahbaikan yang dilakukan di pintu masuk negara seperti penggunaan kod Respons Pantas (QR) di pintu sempadan Johor–Singapura bagi membantu rakyat terutamanya yang bekerja di negara jiran itu.

“Kita juga banyak membantu penduduk Malaysia yang tidak mempunyai dokumen di mana hampir 20,000 (individu) kita berjaya cari dan dokumenkan mereka untuk mendapatkan kad pengenalan atau surat beranak. Dalam konteks pindaan kewarganegaraan yang (telah) diluluskan (di Parlimen tahun ini), ia memberi hak kesamarataan kepada ibu.

“Dalam konteks Perlembagaan (Persekutuan) ayah boleh mewariskan (kewarganegaraan), tetapi ibu tidak boleh, kita buat pindaan ini dan ia satu kejayaan untuk beri kesamarataan dalam konteks kewarganegaraan, untuk boleh diwariskan oleh ibu dan ayah itu sendiri,” jelasnya.