Advertisement

Adik Hanya Jumpa Barang Termasuk Telefon, Abang Dikhuatiri Hilang Ketika Melakukan Aktiviti Menangkap Di Sungai – Sabah News

Foto: Ihsan JBPM Sabah

KOTA BELUD: Adik hanya temui barang peribadi abangnya termasuk telefon bimbit ketika mencari abangnya yang dipercayai hilang ketika sedang melakukan aktiviti menangkap di sungai Kampung Lebak Moyoh Kupang, Kota Belud, semalam.

Mangsa, Nordin Punjuh, 51 tahun dikhuatiri hilang selepas tidak pulang rumah sejak keluar ke sungai pada pagi Ahad. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden orang hilang itu pada jam 8.28 pagi tadi.

Katanya, seramai 14 anggota pasukan bomba dari BBP Kota Belud telah dikejarkan ke lokasi untuk mencari mangsa bersama dua anjing pengesan, iaitu Unit K9 serta agensi lain termasuk 13 anggota PDRM, tiga anggota APM dan 35 orang kampung.

“Menurut pemanggil mangsa keluar dari rumah pada jam 11:00 pagi 24/11/2024 untuk menjalankan aktiviti menangkap di Kawasan Sungai Lebak Moyoh dan keluarga mangsa menyedari mangsa tidak balik ke rumah.

“Dalam jam lebih kurang jam 10 malam adik kepada orang hilang telah ke sungai tersebut untuk mencari abangnya tetapi hanya menemui jala, beg pinggang, telefon, selipar dan baldi di tepi sungai.

“Orang kampung turut membantu membuat pencarian awal dan pasukan Bomba bergerak ke lokasi kejadian mengambil maklumat dan seterusnya menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR),” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Bagaimanapun katanya, pencarian hari ini belum berjaya menemui mangsa di mana jarak keseluruhan pencarian mangsa hingga 8 kilometer.

Operasi SAR hari ini ditangguhkan pada jam 6 petang dan akan disambung semula pada pagi esok.