KOTA KINABALU: Ketua Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah Datuk Redonah Bahanda mahu tindakan disiplin yang tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang bersalah seperti dalam insiden ‘tumbuk’ bahu yang melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri Merotai dan Kunak baru-baru ini.
Beliau berkata, insiden berkenaan mencerminkan tindakan yang bertentangan dengan prinsip profesionalisme, etika, dan keadilan, terutamanya terhadap kaum wanita dalam politik.
“Prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat perlu diwujudkan bagi melindungi wanita, terutamanya dalam politik, daripada sebarang ancaman fizikal atau mental.
“Pemimpin juga perlu diberikan latihan berterusan dalam pengurusan konflik, komunikasi, dan etika agar insiden sebegini tidak berulang,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.
Tegasnya, insiden itu bukan sahaja mencemarkan institusi politik, tetapi juga memberi isyarat negatif kepada golongan wanita yang ingin menceburi dunia kepimpinan.
“Wanita sering berdepan dengan pelbagai cabaran, termasuk diskriminasi dan keganasan, dalam usaha mereka memperjuangkan hak rakyat.
“Insiden ini menunjukkan perlunya usaha yang lebih gigih dalam memastikan suasana politik bebas daripada sebarang bentuk intimidasi, termasuk keganasan fizikal.
“Sebagai pemimpin, kita dipilih untuk berkhidmat kepada rakyat, bukan untuk memperjuangkan ego atau kepentingan peribadi. Insiden sebegini hanya mengalihkan perhatian daripada isu-isu utama yang memerlukan penyelesaian,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau menyeru semua pemimpin, terutamanya lelaki, untuk menghormati wanita dan memupuk suasana kerja yang selamat dan adil.
“Setiap pemimpin, tanpa mengira jantina, harus menjadi contoh kepada masyarakat, dan bukan mencetuskan konflik yang menjejaskan kredibiliti institusi demokrasi.
“Sebagai seorang wanita, pemimpin, dan ibu, saya berdiri teguh bersama rakan-rakan saya untuk memastikan insiden seperti ini tidak mencemarkan nama baik politik dan perjuangan kita untuk rakyat,” ujarnya.