Advertisement

Bapa Dakwa Pelatih Palapes UiTM Meninggal Dunia Selepas ‘Ditunggang’ – Sabah News

Palapes
Kompleks Palapes UiTM Shah Alam ( Sumber Foto: Malaysiakini )

KUALA LUMPUR – Seorang pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) UiTM, Muhammad Amir Rusyaidi Muhammad Zaidi, meninggal dunia pada 13 November lepas selepas didakwa menjalani sesi latihan jerih dan tidak berjadual.

Memetik sumber Malaysiakini, bapa pelatih terbabit, Muhammad Zaidi Abdul Rahman, juga mendakwa kejadian itu melibatkan penderaan secara fizikal.

Dalam laporan kepada polis, Zaidi berkata anaknya mengalami pelbagai penderaan termasuk dipijak dadanya serta dipaksa melakukan pelbagai aksi termasuk seperti kuda dan ditunggang oleh jurulatihnya.

Zaidi juga mendakwa Amir Rusyaidi dipaksa melompat seperti kangaru.

Katanya insiden tersebut berlaku pada 10 Nov dan dirakam oleh jurulatih terbabit. Amir Rusyaidi, 25, dakwanya, dibiarkan pengsan di tengah padang dan di bawah panas matahari selama lebih kurang 30 minit.

Dia mendakwa jurulatih terbabit tidak mengambil apa-apa tindakan sebelum rakan Amir Rusyaidi cuba menolongnya.

“Tetapi telah terlambat dan anak saya tidak sedarkan diri. Kemudian jurulatih itu mengambil tindakan untuk membawa anak saya ke hospital menggunakan kereta beliau.

“Jurulatih itu tidak menelefon ambulans ataupun membawa anak saya ke pusat perubatan di UiTM yang lebih dekat berbanding Hospital Shah Alam,” katanya dalam laporan tersebut.

Zaidi menambah, jurulatih itu gagal untuk maklumkan mana-mana ahli keluarga berkenaan apa yang terjadi dan mereka hanya tahu mengenai insiden tersebut kira-kira jam 9 malam.

Menurutnya, ia susulan disebabkan pihak hospital menghubunginya bagi mendapatkan kebenaran memberikan bantuan pernafasan.

Sekiranya tidak dimaklumkan pihak hospital, kami sekeluarga langsung tidak tahu isu ini,” katanya lagi.

Menurut Zaidi, butiran tersebut dimaklumkan kepadanya oleh rakan Amir Rusyaidi selepas anaknya itu dikebumikan di Banting, Selangor.

Dia juga mendakwa pihak UiTM tidak dimaklumkan mengenai insiden yang menimpa Amir Rusyaidi bahkan pelatih terbabit diminta untuk hadir ke kelas atau akan dianggap tidak hadir.

Apabila ditanya sama ada insiden tersebut diberitahu kepada pihak universiti atau tidak, Zaidi berkata, jurulatih terbabit mengaku ia tidak dimaklumkan.

Dakwanya, insiden tersebut hanya dimaklumkan kepada UiTM selepas jurulatih berkenaan ditegur.

Kata Zaidi, keluarganya percaya bahawa berlaku kecuaian dan kekasaran melampau oleh jurulatih itu yang menyumbang kepada kematian Amir Rusyaidi.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Mohd Iqbal Ibrahim, mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa mereka sedang menyiasat kes itu sebagai kematian mengejut.

Timbalan Komandan Palapes UiTM Ariff Md Ab Malik pula menggesa agar siasatan rapi dilakukan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum sebarang tindakan tatatertib diambil terhadap pegawai terbabit.

“Sebagai timbalan komandan UiTM Palapes, saya sememangnya menggesa ATM menjalankan siasatan menyeluruh.

“Contohnya, bermula daripada pengambilan calon, adakah sesuai untuk menyertainya juga dari segi pengendalian latihan, adakah ia mengikut prosedur,” katanya.