KOTA KINABALU, SABAH – Mungkin tulisan ini agak sedikit panjang tetapi ini adalah fakta untuk menangkis serangan fitnah jahat ke atas Tan Sri Musa Aman ketika ini dan jawapan kepada persoalan kenapa beliau layak diangkat menjadi Tuan Yang Terutama Negeri Sabah (TYT).
Sebelum menulis surat terbuka untuk tatapan semua, Gabungan NGO Bebas Suara (BEBAS), Gerakan Anak Musa Berani Sabah (BERANI) & Gerakan Mahasiswa Anak Sabah ingin berkongsikan bahawa hukum fitnah jelas haram dan ditegah dalam hukum syarak. Ini kerana perbuatan fitnah dikecam dengan keras oleh Baginda Rasulullah dalam hadis yang diriwayatkan Huzaifah: ‘Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba)’ – [HR al-Bukhari 6056 dan Muslim 105].
BEBAS memaklumkan bahawa selepas tertubuhnya sahaja Parti Warisan Sabah individu utama yang sering menjadi sasaran fitnah oleh ahli-ahli Parti Warisan khususnya ‘cybertrooper’ Warisan adalah sosok tubuh bernama Tan Sri Musa Aman.
Amat menyedihkan sehingga kini walaupun Tan Sri Musa telah bersara sepenuhnya dari bidang politik, namun Musa berterusan difitnah dengan tuduhan yang cukup jijik dan jahat.
“Mutakhir ini nama Musa kembali menjadi sorotan selepas ditularkan beliau akan dilantik sebagai Tuan Yang Terutama Negeri Sabah (TYT) menggantikan Juhar,” kata BEBAS.
Jika diukur pengalaman beliau mentadbir Sabah sebelum ini, fakta dengan jelas menunjukkan Musa sebenarnya bukan sahaja layak menjawat jawatan sebagai TYT, malahan sepatutnya boleh dilantik sebagai menteri penuh di peringkat Persekutuan di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar.
Kejayaan Musa membangunkan negeri Sabah sehingga digelar ‘Bapa Arkitek Pembangunan Negeri Sabah’ turut diiktiraf oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS) selepas dianugerahkan dengan
kedoktoran kehormat (PhD) dalam Ekonomi Pembangunan pada majlis konvokesyen ke-25 universiti itu.
Menurut Pro-Canselor UMS Tan Sri Azman Hashim, individu yang menyampaikan skrol itu turut berkata pengiktirafan dibuat terhadap Musa adalah atas dedikasi dan kerja Musa yang telah dilakukannya untuk negeri Sabah sehingga beliau dikenali sebagai ‘Bapa Arkitek Pembangunan Ekonomi Sabah’.
Di antara kejayaan Musa yang paling ketara adalah berjaya mengumpulkan rizab kewangan untuk Kerajaan Negeri Sabah sebanyak RM3.4 billion walaupun hanya kurang dari 10 tahun semasa memimpin Sabah.
Untuk rekod, pada tahun 2017 kadar pertumbuhan 8.2% bagi Sabah adalah yang tertinggi antara semua negeri di Malaysia masa itu dan lebih tinggi berbanding kadar 5.9% untuk keseluruhan Malaysia, tetapi malangnya selepas Shafie mengambil alih jawatan Ketua Menteri Sabah melalui kudeta kadar KDNK negeri telah jatuh ke paras terendah di Malaysia sebanyak 0.5 peratus (0.5%).
Musa telah menggantikan Tan Sri Chong Kah Kiat pada 27 Mac 2003 dan waktu itu rizab kewangan Sabah hanya berada RM180 juta dan kurang dari 10 tahun rezab kewangan tersebut berjaya dikumpulkan oleh Musa.
Pencapaian luar biasa Musa turut mendapat pengiktirafan mendapat sijil tanpa teguran selama 15 tahun berturut-turut dan mendapat pengiktirafan angerah “Triple-A” di atas urus tadbir kewangan yang baik oleh Jabatan Audit Negara.
(Diakhir tulisan disenaraikan beberapa pencapaian Tan Sri Musa Aman ketika mentadbir Sabah).
Musa juga individu yang telah menyelamatkan Yayasan Sabah dari tangan Shafie Apdal selepas Musa berjaya menghalang cadangan untuk menjual sebahagian besar tanah Yayasan Sabah kepada syarikat yang dimiliki oleh sahabat baik Shafie yang berasal dari Sarawak bernama Datuk Ambrose Lee kira-kira 20 lebih tahun yang lalu.
Selain itu, Musa dikatakan telah bertungkus-lumus mempertahankan serta tampil membuat laporan Polis untuk menghalang penjualan tanah tersebut daripada berlaku, walaupun Shafie telah berjaya meyakinkan Ketua Menteri dan Jemaah Menteri pada waktu itu.
“Kontroversi itu bermula apabila syarikat NBT yang mana pemiliknya Ambrose Lee dikatakan telah cuba untuk mengawal Sabah Softwoods Sdn Bhd (SSSB) dan Rakyat Berjaya Sdn Bhd (RBSB) membabitkan penjualan 60 peratus (60%) ekuiti ICSB, sebuah anak syarikat Yayasan Sabah. (Umum mengetahui Ambrose Lee adalah sahabat baik kepada Shafie Apdal sehingga kini),” jelas BEBAS.
Sebelum ini dilaporkan North Borneo Timbers Bhd (NBT), sebuah syarikat tersenarai yang mana Datuk Seri Shafie Apdal merupakan pengerusinya, mendapat urus janji konsesi balak bernilai RM350 juta dari Innoprise Corporation Sdn Bhd (ICSB), sebuah syarikat pelaburan di bawah Yayasan Sabah.
Cadangan kawalan ke atas SSSB dan RBSB itu bermakna melepaskan 150,000 ekar tanah berharga milik Yayasan Sabah kepada individu-individu tertentu, sementara pengambil-alihan RBSB bermakna akan menyerahkan 247,000 ekar konsesi balaknya kepada firma tersenarai awam itu.
Difahamkan dengan hanya RM150 juta, Syarikat NBT akan diberikan Konsesi Balak oleh ICSB selama 100 tahun bagi Tanah Hutan Simpanan seluas seratus ribu (100,000) hektar untuk tujuan Pembalakan.
Tambahan, bekas timbalan pengarah Yayasan Sabah, Tengku Zainal Adlin dan bekas ketua pegawai eksekutif ICSB, Abdul Kadir Damsal juga pernah mengulas isu penjualan ini apabila berkata Musa membantu menyelamatkan negeri itu daripada urus janji yang TIDAK ADIL, yang mana akan menyebabkan Sabah bakal kehilangan rizab hutan.
Alasan ini sebenarnya digunakan oleh Shafie Apdal untuk memusuhi Musa kerana telah menggagalkan rancangan Shafie.
Usaha juga telah digerakkan oleh penyokong dan ahli-ahli Warisan termasuk UMNO pro kepada Shafie dan Bung untuk menyebarkan luaskan fitnah kononnya salah satu sebab kenapa Musa tidak boleh dilantik menjawat jawatan sebagai TYT kerana Musa berbangsa Pakistan.
“Amat lucu melihat tahap IQ rendah dan permainan fitnah yang dimainkan oleh mereka, fakta yang sebenarnya adalah Ibu kepada Musa Aman berbangsa Dusun Kujau dari Bingkor Keningau, manakala ibu kepada Haji Aman pula berbangsa Suluk dan Sungai, manakala Ayah kepada Haji Aman pula berketurunan Paksitan berdarah bangsawan dan dari keluarga yang berada serta dikenali dengan panggilan KHAN, berhijrah ke Sabah semasa negeri ini masih lagi dijajah oleh British,” jelas BEBAS.
Dalam politik pula individu yang memainkan peranan dan berjaya memujuk Musa untuk menyertai politik adalah Bapa Kemerdekaan Negeri Sabah Al-Marhum Tun Mustapha.
Tun melihat USNO pada waktu itu amat memerlukan bantuan kewangan dan tokoh koporat anak Sabah yang paling berjaya serta boleh membantu adalah Musa, oleh sebab itu usaha memujuk secara berulang kali telah dibuat oleh Tun dan akhirnya dipersetujui oleh Musa.
Selepas bersetuju menerima pelawaan Tun, pada tahun 1980 Musa telah dilantik sebagai bendahari USNO oleh Tun Mustapha dan bendahari UMNO Sabah pada 23 Mac 1991 selepas UMNO mengembangkan sayapnya ke Sabah.
Pada 16 Mac 1992, beliau dilantik memegang jawatan Bendahari Barisan Nasional (BN) Sabah. Pada 20 Mac 1999, beliau dilantik sebagai Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah. Kemudian pada 27 Mac 2001, beliau dilantik sebagai Menteri Kewangan Sabah. Pada 27 Mac 2003, beliau mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah yang ke-14.
Untuk rekod, Musa juga pernah dilantik sebagai Konsul Kehormat di Bangladesh.
Sebelum menyertai politik Musa dikenali sebagai ahli perniagaan dan tokoh koporat yang amat berjaya malahan pernah memiliki bank sendiri.
Dilaporkan juga bahawa Musa secara peribadi pernah membantu menyalurkan kewangan untuk menolong Shafie Apdal ketika beliau menjawat jawatan Ketua Pemuda UMNO Sabah untuk program pemuda di Sabah.
Pada Mac 2020 semasa pandemik COVID-19 Musa juga telah menyumbang sebanyak RM 1 juta bagi menyalurkan bantuan makanan kepada rakyat Sabah.
Ringkasan di atas amat jelas menunjukkan Tan Sri Musa Aman bukan sahaja terlebih layak menjawat jawatan Tuan Yang Terutama Negeri Sabah (TYT), sebaliknya layak menjawat jawatan Menteri Kanan di Peringkat Kerajaan Persekutuan.
Berikut di antara kejayaan Tan Sri Musa Aman membangunkan negeri Sabah semasa memegang jawatan sebagai Ketua Menteri Sabah.
1. Rezab kewangan Negeri Sabah mencecah 3 billion selepas hanya 180 juta semasa mengambil alih jawatan Ketua Menteri daripada Tan Sri Chong Kah Kiat.
2. Kilang Pusat Pemprosesan Minyak Sawit POIC) yang terbesar di Malaysia telah dibina di Lahad Datu.
3. Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) berhampiran bangunan Tun Mustapha (Yayasan Sabah).
4. Pusat pemprosesan minyak gas Kimanis dan Sipitang.
5. Pusat Konvensyen Dunia berdekatan Bangunan Kastam.
6. Mahkamah Majistret Baharu Kota Kinabalu.
7. Hospital UMS yang sedang dibina bernilai RM652 Juta.
8. Jalan Lebuhraya Pan-Borneo.
9. Mahkamah Syariah bedekatan Masjid Bandaraya.
10. Hotel- hotel antarabangsa yang seperti Hilton dan banyak lagi dibina di Bandaraya Kota Kinabalu.
11. Jalan 4 lorong dan jejantas kenderaan yang sedang dibina di laluan jalan Sulaman, Inanam dan Luyang.
12. Pusat Rekreasi dan Riadah jalan Teluk Likas ke UMS yang terbaik di Malaysia.
13. Bangunan komersial yang sedang dibina di Kota Kinabalu.
14. Hutan berjaya ditanam semula, dipulihkan dan dirawat, seluas 700,000 hektar dan merupakan yang terbesar di Malaysia. Sebanyak 53 peratus (53%) atau 3.9 juta hektar tanah telah dirizabkan secara kekal sebagai kawasan hutan simpan, kawasan perlindungan dan kawasan pemuliharaan hidupan liar melalui dasar pengurusan hutan lestari.
Sekian dan terima kasih.
Yang benar,
Gabungan NGO Bebas Suara (BEBAS), Gerakan Anak Musa Berani Sabah (BERANI) & Gerakan Mahasiswa Anak Sabah.
NOTA: Tulisan di atas kiriman oleh Gabungan NGO Bebas Suara (BEBAS) dan sama sekali tidak mencerminkan pendirian SabahNews…