Advertisement

Kerajaan Persekutuan Teruskan Usaha Tingkat Prestasi Cukai, Pelaburan di Sabah – Sabah News





Juhar
Tun Juhar (tengah) menerima cenderamata daripada Rosli (dua dari kiri) – ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan Persekutuan akan meneruskan usaha membantu kerajaan negeri meningkatkan prestasi sumber cukai, pelaburan dan pelbagai aspek lain dari masa ke semasa.

Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Seri Rosli Isa berkata pihaknya telah berbincang dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Sabah berkaitan usaha meningkatkan hasil melalui pungutan cukai.

“Berdasarkan tugas penjawat awam, selain daripada kita memberi bantuan sumbangan dan pelaburan, kita juga ingin lihat supaya jabatan persekutuan negeri dapat menjadi agensi yang melibatkan enterprising knowledge dan enterprising agency supaya hasil negara-negeri ini terus meningkat dari masa ke masa.

“Kita akan terus membantu meningkatkan prestasi sumber cukai negeri di Sabah ini kerana masih lagi agak rendah berbanding dengan sumbangan yang diberikan oleh kerajaan persekutuan Negeri,” ujarnya ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu pada Selasa.

Selain itu, Rosli memaklumkan terdapat lebih kurang 400 projek pembangunan di Sabah yang masih belum bermula dan dibimbangi memberi kerugian kepada Sabah.

“Di Sabah ini terdapat lebih kurang 400 lebih projek pembangunan yang masih di peringkat belum mula dan pihak kita berperanan untuk melihat supaya pembangunan itu dapat disegerakan kerana jika tidak sudah pasti akan menyebabkan kerugian kepada kerajaan negeri,” katanya. — JABATAN PENERANGAN SABAH