TUARAN: Seorang lelaki dilaporkan meninggal dunia selepas kereta jenis Proton Saga lama yang dipandunya terbabas sendiri dan masuk ke dalam parit dalam satu kejadian kemalangan di Kampung Munsung, Jalan Kindu Tenghilan pagi tadi.
Mangsa, Saiful Suhaimi, 39 tahun dilaporkan tersepit dalam kenderaan tersebut sebelum dikeluarkan oleh pasukan bomba dan disahkan meninggal dunia.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Mohamad Nor Amit berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 11.30 pagi.
Katanya, seramai lapan anggota pasukan bomba dari BBP Tuaran telah dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 8 kilometer dan tiba pada jam 11.40 pagi.
“Lapor, setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian, didapati benar terdapat panggilan kecemasan kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kereta jenis Proton Saga lama telah terbabas sendiri dan masuk ke dalam parit.
“Dilaporkan terdapat seorang mangsa tersepit yang kemudian dikeluarkan oleh pasukan bomba dan mangsa telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh PDRM,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan selanjutnya.
Setelah memastikan tiada bahaya lain wujud di lokasi kejadian, operasi seterusnya ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.15 tengah hari.