KOTA KINABALU: Tapak pembinaan menara yang tidak sesuai menjadi antara faktor prestasi pelaksanaan projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) di negeri ini kurang memuaskan.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, perkara itu merupakan masalah legasi yang berlaku beberapa tahun kebelakangan ini.
“Sejak saya menggalas tanggungjawab dan memegang amanah menerajui Kementerian Komunikasi, kita telah melihat syarikat terlibat telah berusaha dengan lebih gigih untuk menyiapkan baki (pelaksanaan projek JENDELA).
“Tapi saya dapati bagi negeri Sabah masih banyak yang perlu diusahakan bukan satu syarikat tapi ada beberapa syarikat yang terlibat ke depan untuk jendela Fasa 2 yang melibatkan antara 2,500 ke 3,000 tapak di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.
Majlis itu turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Fahmi berkata, pihaknya mahu supaya sistem dan proses yang digunakan untuk JENDELA Fasa satu dirombak secara keseluruhan dan tidak lagi bergantung kepada penilaian semata-mata.
“Ia mesti mempunyai elemen pengetahuan tempatan dan juga dengan saringan yang lebih tepat dan lebih jitu mereka yang terlibat tapi gagal kita akan teliti apakah had keterlibatan mereka dalam fasa dua nanti
“Kita jangkakan mungkin dalam 2025 sekiranya MCM telah meneliti mungkin kita akan umumkan Fasa dua tapi proses pertama ialah merombak keseluruhan sistem yang telah memungkinkan JENDELA fasa satu sampai ke tahap ini terutama di negeri Sabah,” katanya.
Semalam, Hajiji ketika mengadakan lawatan kerja ke Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah mahu pemasangan menara telekomunikasi di bawah fasa pertama JENDELA di Sabah dipantau dengan teliti.
Hajiji turut memberi amaran bahawa Kerajaan Negeri tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan jika tiada peningkatan dalam prestasi projek berkenaan.