Advertisement

MCMC, DBKK Meterai MoU Bagi Pelaksanaan Program Bandar Pintar Seluruh Kota Kinabalu  – Sabah News

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini menjalin kerjasama strategik dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) untuk pelaksanaan program bandar pintar di seluruh kawasan Kota Kinabalu, Sabah.

MCMC dalam satu kenyataan berkata, kerjasama strategik ini bertujuan untuk memperkukuh kerjasama antara DBKK dengan MCMC dalam membantu pelaksanaan bandar pintar yang komprehensif.

“Selain itu, meningkatkan infrastruktur digital, memperluas akses kepada teknologi komunikasi, serta melaksanakan program pendidikan digital untuk membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

“Melalui MoU ini, liputan Internet akan ditambah baik di seluruh kawasan Kota Kinabalu bagi menyokong perkhidmatan digital Kerajaan Negeri Sabah, dan penyediaan pelan infrastruktur komunikasi di lokasi pembangunan yang dipersetujui,” jelas kenyataan itu di sini, hari ini.

Dalam pada itu, MCMC juga akan menawarkan khidmat nasihat teknikal kepada DBKK dalam aspek yang berkaitan dengan infrastruktur digital, jaringan, liputan, keselamatan siber dan pencegahan penipuan dalam talian.

“MoU ini turut meneroka kerjasama berkaitan e-dagang dan latihan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) kawasan Kota Kinabalu yang menyasarkan penglibatan komuniti di kawasan NADI.

“Beberapa inisiatif akan dilaksanakan, termasuk mempertingkat keselamatan awam melalui pemantauan kamera litar tertutup (CCTV) dan pusat gerakan, sistem pengurusan pengangkutan awam, pemerkasaan pendidikan digital, serta penyediaan kemudahan komuniti pintar dan hijau.

“Kesemua aspek kerjasama dan inisiatif tersebut bakal melonjakkan bandaraya Kota Kinabalu sebagai sebuah bandaraya pintar yang efisien, inovatif dan lestari sekali gus memacu ekonomi negeri Sabah ke tahap yang lebih baik,” tambah kenyataan itu lagi.

Majlis pemeteraian MoU antara Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dengan Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin Samitah, disaksikan oleh Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, Ketua Menteri Sabah dan Menteri Komunikasi, YB Fahmi Fadzil.

Hadir sama, Pembantu Menteri merangkap Menteri yang bertanggungjawab kepada DBKK, YB Datuk Abidin Madingkir; Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, YB Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar Untong, JP dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, YBhg. Datuk Mohamad Fauzi bin Md Isa.