Advertisement

Kerajaan Negeri Prihatin Bantu Usahawan Wanita

Juliah
Juliah (tengah), Haslina (lima kanan) bergambar bersama Pertubuhan Pemulihan dalam Komuniti (PPDK) yang menerima sumbangan ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KUDAT, SABAH – Kerajaan negeri sentiasa prihatin membangun dan memperkasa usahawan wanita di negeri ini.

Yang DiPertua Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri wakil rakyat Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS), Datuk Juliah Salag berkata, kerajaan menyediakan pelbagai program dan inisiatif dalam membantu memperkasa usahawan wanita.

“Bidang keusahawanan telah menjadi pemangkin kepada perubahan dan perkembangan ekonomi negara terutamanya negara-negara maju dan sedang membangun.

“Justeru, kerajaan telah menyediakan pelbagai program dan inisiatif kepada usahawan wanita yang harus diambil dan dimanfaatkan sepenuhnya sekaligus dapat membantu memperkasakan ekonomi usahawan wanita di negeri ini.

“Tahun ini sahaja, sebanyak RM6.27 juta diperuntukkan kepada Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA) Sabah bagi mengurus dan memperkasa kesejahteraan wanita melalui pelbagai program pembangunan modal insan seperti program keusahawanan yang menyasarkan golongan ibu tunggal, wanita berkahwin yang berpendapatan rendah dalam kategori B40 dan juga usahawan wanita di seluruh negeri.

“Selain itu, sebanyak RM11 juta turut disediakan melalui Yayasan Usaha Maju (YUM) untuk membantu suri rumah, ibu tunggal, usahawan kecil dan lain-lain kategori berkaitan yang memerlukan modal pinjaman mikro,” ujarnya ketika berucap merasmikan Program Keusahawanan JHEWAnita Tahun 2024 di Dewan Tun Mustapha, pada Rabu.

Beliau yang juga isteri kepada Ketua Menteri menyeru agar usahawan wanita melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran bagi menambah baik perniagaan.

“Rebutlah peluang untuk terus menambah ilmu pengetahuan, kemahiran berkaitan sektor perniagaan yang boleh diceburi, saya menyarankan agar para usahawan untuk menyertai kursus, seminar atau program latihan yang berkaitan dengan bidang keusahawanan untuk melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan bagi menambah baik perniagaan.

“Sesungguhnya, banyak cabang keusahawanan yang boleh diceburi oleh wanita di negeri ini seperti keusahawanan digital, makanan dan hospitaliti, keusahawanan kreatif, teknologi dan sektor kecantikan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JHEWA, Haslina Ismail mengajak orang ramai terutama usahawan wanita menggunakan portal JHEWAniaga dalam memasarkan produk mereka.

“JHEWAniaga dibangunkan untuk kita himpunan usahawan-usahawan di bawah bimbingan JHEWA bertujuan mempromosikan produk mereka sambil berjual beli dan setakat ini kira-kira 600 lebih usahawan wanita kita telah berdaftar dalam portal ini.

“Portal ini sangat membantu meringankan beban para usahawan wanita kerana ia tidak melibatkan kos yang tinggi seperti bayaran sewa kedai, kos pekerja dan lain-lain sekaligus dapat mengurangkan kos perniagaan,” jelas beliau.

Turut hadir, Pengerusi Biro Lawatan MUTIARA GRS, Datin Noriah Pg. Ahmad dan Wahida Mardiana Norsalim dan Penolong Pegawai Daerah Kudat, Mohd Army @ Aming Majirun. — JABATAN PENERANGAN SABAH