KUALA LUMPUR – Setiap Rang Undang-undang (RUU) pindaan Perlembagaan Persekutuan perlu terlebih dahulu dirujuk secara mandatori kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) selepas bacaan kali pertama bagi tujuan pemurnian yang maksimum melalui libat urus kepada semua pemegang taruh.
Cadangan tersebut dicetuskan oleh Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (UPKO – Tuaran) semasa membahaskan RUU Akta Perlembagaan (Pindaan) 2024, pada Persidangan Parlimen Dewan Rakyat, di sini, pada Khamis.
Menurutnya, perkara itu harus dimuktamadkan bukan sahaja untuk mengelakkan pindaan Perlembagaan berkali – kali ke atas perkara atau fasal yang sama, tetapi juga memastikan setiap pindaan mematuhi keperluan perundangan dan kepatuhan terhadap pelbagai perjanjian terutama sekali Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan segala perakuan dan jaminan semasa pembentukan Malaysia.
“Sejak Pembentukan Malaysia 1963 telah menyaksikan Perlembagaan Persekutuan ini telah pun dipinda sebanyak 58 kali.
“Pindaan Perlembagaan Persekutuan begitu kerap telah dibuat karena ia dilaksanakan secara tergesa-gesa dan reaksioner (reactionary) sehingga memberi kesan kepada perundangan yang lain, menyebabkan ia perlu dipinda semula.
“Sebagai contoh, di dalam Fasal 2 Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan iaitu berkaitan definisi negara Malaysia yang dipinda sebanyak dua kali pada tahun 1976, kemudian dipinda kembali kepada asal pada tahun 2022 seiring dengan Perjanjian Malaysia 1963,” katanya.
Madius berkata, sebagai ahli-ahli parlimen yang sudah mengangkat sumpah di Dewan Rakyat, semuanya adalah bertanggungjawab untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.
Oleh sebab itu katanya, apabila terdapat RUU untuk meminda Perlembagaan Persekutuan, ia harus dilakukan dengan teliti.
“Satu lagi contoh ialah pindaan Perkara 122 iaitu berkaitan pelantikan Hakim Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak yang telah dipinda pada tahun 1994 di dewan yang mulia ni tanpa merujuk kepada Kerajaan Sabah dan Sarawak.
“Pada masa ini, status pindaan itu masih tergantung. Apakah pindaan ini terpakai atau tidak? Dan Tuaran sebagai ahli parlimen lima penggal telah memperjuangkan perkara ini berkali-kali namun Menteri Undang-undang sebelum ini berkata bahawa biarlah keabsahan pindaan tersebut ditentukan oleh mahkamah.
“Kenapa pula perlu rujuk ke mahkamah untuk buat keputusan, sedangkan kita ini adalah ‘the highers institution in the country’. Dewan Rakyat ini yang menentukan, kalau sudah silap kena betulkan. Itulah makanya setiap pindaan Perlembagaan perlu dirujuk kepada JPKP,” tegas Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu lagi.
Menyentuh mengenai usul pindaan RUU itu, beliau memaklumkan secara prinsipnya menyokong.
“Hari ini kita memperjuangkan hak wanita yang mana akhirnya wanita warganegara Malaysia yang berkahwin orang asing dan anaknya lahir di luar negara secara automatik akan menjadi warganegara Malaysia. Terima kasih kita menyokong pindaan ini.
“Tetapi hak wanita asing pula yang menjadi isteri kepada suami tempatan, beliau dikehendaki menggugurkan kerakyatan di negara asal untuk mengikut kewarganegaraan suaminya di Malaysia kerana negara ini tidak membenarkan dua kerakyatan.
“Namun mengikut perundangan ini, sekiranya perkahwinan mereka terbubar atau bercerai dalam tempoh dua tahun, maka kerakyatan wanita asing itu di Malaysia akan hilang atau ditarik balik.
“Ini bermakna wanita ini akan menjadi orang tanpa negara (stateless). Sepatutnya apabila kita memperjuangkan hak wanita dalam RUU yang sama, kita perjuangkan sekali tentang hal-hal seumpama ini. Tapi ini tidak. Inilah yang akan berlaku sekiranya kita melaksanakan pindaan secara tergesa-gesa.
“Sehubungan itu, saya sekali lagi memohon agar rakan-rakan Ahli Parlimen menyokong sebarang pindaan Perlembagaan Persekutuan yang dibuat selepas ini hendaklah mandatori dirujuk terlebih dahulu kepada JPKP yang terdiri daripada ahli-ahli dewan pelbagai parti untuk menjalankan tugas libat urus dan mendengar pendapat daripada pemegang taruh termasuk badan-badan bukan kerajaan (NGO), masyarakat sivil, pakar-pakar akademik dan rakyat jelata,” ujar mantan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi itu lagi.