KOTA KINABALU: Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) terus gesa Datuk Seri Bung Moktar Radin segera berundur diri dari jawatan Pengerusi Perhubungan Umno Sabah.
Pengerusi G57, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, Bung sepatutnya memberi tumpuan sepenuhnya kepada perbicaraan kes rasuah yang dihadapinya dan menyerahkan gerak kerja UMNO Sabah kepada timbalannya.
“Umum mengetahui pilihan raya negeri Sabah akan diadakan pada tahun hadapan justeru ahli UMNO Sabah di peringkat akar umbi amat memerlukan kepimpinan yang mempunyai lebih masa bersama mereka dan memerlukan komitmen masa yang banyak.
“Berbicara dari sudut moral dan integriti pula, Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Sabah sepatutnya mendesak agar Bung meletak jawatan kerana isu rasuah yang dihadapi oleh beliau sudah tidak melayakkan beliau memimpin UMNO Sabah.
“Sebagai bekas pimpinan aktivitis barisan hadapan UMNO sejak sekian lama, nasihat ini dibuat demi kebaikan UMNO di Sabah,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.
Keputusan Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur hari ini menetapkan tarikh 21 Januari bagi pengurusan kes, dan 9-11 April 2025, 14-15 April, serta 5 dan 6 Mei 2025 bagi menyambung semula perbicaraan membabitkan Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad terhadap tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.