BELURAN: Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun dilaporkan mengalami kecederaan patah tangan dan kaki selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan pertembungan dua lori membawa muatan sawit di Check Point Simpang Beluran pagi tadi.
Manakala, seorang mangsa juga lelaki berusia 46 tahun dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian kepala.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Edoen Macheal berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 6.57 pagi.
“Lapor kemalangan melibatkan pertembungan antara dua buah lori, iaitu lori tiga tan dan 10 tan membawa muatan kelapa sawit.
“Kedua-dua mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan Bomba di lokasi.
“Pihak KKM memberi rawatan awal kepada mangsa dan menghantar ke Hospital Beluran menggunakan Ambulans,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Pasukan Bomba bertindak membersihkan kawasan kemalangan.
Setelah memastikan tiada bahaya lain yang wujud di lokasi, operasi seterusnya ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.13 pagi.