Advertisement

Mahkamah Tetapkan April Depan Perbicaraan Bela Diri Bung Dan Isteri Atas Tiga Pertuduhan Rasuah Bernilai RM2.8 Juta – Sabah News

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini menetapkan April depan untuk perbicaraan bela diri membabitkan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad yang berdepan tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta, lapor TV3.

Menurut peguam yang mewakili Datuk Seri Bung Moktar Radin, Rinda Abdah Subri, tarikh itu membabitkan 9 hingga 11, 14 dan 15 April serta 5 dan 6 Mei tahun depan.

Hakim Mahkamah Sesyen, Rosli Ahmad turut menetapkan 21 Januari tahun depan bagi tarikh pengurusan kes.

Selain turut diputuskan jaminan sebanyak RM100,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin, serta pasport disimpan di mahkamah.

Terdahulu, pasangan itu tiba di Kompleks Mahkamah Jalan Duta sekitar jam 8.25 pagi tadi untuk menghadiri sebutan pertama kes bagi tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta ringgit.

Pertuduhan ini berkait dengan dakwaan menerima suapan bagi meluluskan pelaburan RM150 juta FELCRA ke dalam unit amanah Public Mutual Berhad pada tahun 2015.

18 November lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa perbicaraan mesti diteruskan, menolak permohonan pasangan tersebut untuk membatalkan keputusan prima facie yang sebelum ini telah mengarahkan mereka membela diri.

Keputusan itu dibuat panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebaskan mereka pada 7 September 2023.