SANDAKAN:Misi Kembara Berjalan Kaki atau ‘Death March’ dari Kota Kinabalu ke Sandakan oleh tiga individu, iaitu Alnizam, Coach Lie dan Angkol Suhaimi yang memakan masa selama 15 hari akhirnya berjaya diselesaikan baru-baru ini.
Perjalanan kembara sejauh kira-kira 350 kilometer itu telah dikongsikan oleh ketiga-tiga individu itu menerusi siaran langsung di laman TikTok masing-masing sepanjang perjalanan tersebut berlangsung.
Terdahulu, ketiga-tiga telah singgah ke Memorial Park batu 7 Sandakan sebagai satu signifikan kepada misi mereka sebelum mereka meneruskan perjalanan mereka ke bandar Sandakan.
Keadaan jalan yang banyak berbukit dengan membawa bebanan seberat 15 ke 16 kilo antara cabaran yang cukup mencabar dikongsikan mereka ketika ditemui Team Konco Pagi ERA di Sandakan.
“Tapi kita sudah berjanji kepada mental dan fizikal mengatakan bahawa kita harus menghabiskan misi ini.
“Juga cabaran yang agak besar kepada kami adalah berhadapan dengan kenderaan. Kita tiada laluan pejalan kaki, jadi kami berjalan di garis putih, jika ada kenderaan besar kami kena ke tepi,” jelas mereka.
Sementara itu warga Sandakan turut memberi sokongan moral dengan turut serta berjalan kaki bersama-sama antaranya team Media Sandakan dan Team konco Pagi ERA terdiri daripada Adnan,Mijul dan Emma yang tiba dari Kuala Lumpur ke Sandakan sebagai tanda sokongan mereka terhadap misi kembara tersebut.
Mereka bersama-sama berjalan kaki sejauh 13km selama lebih empat jam dan berakhir di papan tanda Harbour Mall Sandakan pada jam 5.30 petang.