PUTATAN: Empat buah rumah dilaporkan musnah dijilat api dalam satu kejadian kebakaran rumah di Jalan Ramayah Kampung Teguli Putatan, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian kebakaran rumah itu pada jam 8.39 malam.
Katanya, seramai 10 anggota dari BBP Putatan, 10 anggota (bantuan) dari BBP Penampang dan seramai tujuh anggota dari BBP Kota Kinabalu telah dikejarkan ke lokasi kejadian untuk membantu memadamkan kebakaran.
“Turut bersama-sama kita dalam operasi ini, agensi lain termasuk PDRM, APM, SESB dan Jabatan Air.
“Lapor kebakaran melibatkan empat buah rumah kediaman terbakar 100 peratus, yang mana rumah pertama, kedua dan ketiga adalah jenis separuh kekal dua tingkat, manakala rumah keempat jenis tidak kekal satu tingkat.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan tiga aliran 300 kaki, enam pancutan dan sumber air dari tangki jentera, pili bomba berhampiran dan sumber terbuka, iaitu sungai,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Bagaiamanapun, tiada mangsa dilaporkan terlibat dan setelah memastikan tiada bahaya lain yang wujud operasi seterusnya ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.42 pagi Khamis.