KOTA KINABALU: Kenyataan oleh Peguam Kanan Muhammad Shafee Abdullah hari ini yang mencabar Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor untuk memfailkan saman ke atas pemberi maklumat skandal video rasuah beberapa ADUN Sabah tidak sepatutnya dilayan.
Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, kes ini sedang dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Dan sudah tentu sewajarnya pihak SPRM perlu diberikan ruang untuk menyelesaikan kerja-kerja mereka kemudian boleh berbincang mengenai soal saman sivil,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi merujuk kepada kenyataan peguam ‘Whistleblower’, Muhammad Shafee yang mencabar Hajiji dan wakil rakyat yang terlibat memfailkan saman terhadap anak guamnya atas tuduhan fitnah.
Tambah Zulkarnain yang juga aktivis politik berkata, sebagai seorang peguam berpengalaman G57 berpandangan Shafee sepatutnya menyedari bahawa tindakan pemberi maklumat tersebut memilih portal berita untuk menyiarkan video-video kononnya salah laku rasuah dengan membelakangkan pihak SPRM adalah tindakan kurang wajar.
“G57 tetap berpendirian apabila seseorang itu mengetahui adanya amalan rasuah perkara tersebut tidak sepatutnya disembunyikan dengan merujuk kepada Seksyen 25 Akta SPRM 2009 di mana apabila kamu mengetahui amalan rasuah tetapi tidak melaporkan kepada pihak SPRM ini jelas satu kesalahan…
“Untuk rekod G57 juga sebelum ini telah membuat laporan ke SPRM dan Polis mengenai salah laku kumpulan yang dikaitkan dengan pemberi maklumat tersebut dan kita meletakkan sepenuh kepercayaan kepada kredibiliti SPRM untuk merungkai kes ini,” jelas beliau.
Tambah Zulkarnain, pihaknya merasakan Hajiji sepatutnya terus fokus membangunkan negeri Sabah yang masih jauh ketinggalan dari pembangunan khususnya berkaitan jalan raya, elektrik dan air.
“Hajiji tidak sepatutnya terjerat dengan provokasi yang dimainkan oleh pihak tertentu yang jelas mempunyai agenda tersembunyi untuk menggugat kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) Sabah…
“Sebaliknya, keputusan menyerahkan siasatan video ini kepada SPRM adalah keputusan tepat,” kata Zulkarnain.