Advertisement

Rakyat Perlu Hati-Hati Terhadap Provokasi Yang Boleh Memecahbelahkan Keharmonian Rakyat Sabah – Sabah News

MEMBAKUT: Seluruh rakyat Sabah diseru dan dinasihat untuk lebih perlu berhati-hati terhadap sebarang bentuk provokasi atau taktik jahat yang boleh memecahbelahkan rakyat di negeri ini.

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Membakut, Ag Daud Ag Anak berkata, rakyat Sabah sendiri perlu bersatu untuk membanteras budaya fitnah yang semakin tidak terkawal. 

“Kita perlu bersatu untuk membanteras budaya fitnah dan tohmahan yang boleh merosakkan keharmonian dan kemajuan negeri kita,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sementara itu, Gagasan Rakyat Membakut juga dalam kenyataan sama menyelar kenyataan yang mendesak peletakan jawatan Ketua Menteri oleh Datuk Seri Hajiji Noor.

“Desakan tersebut adalah tidak berasas dan tidak masuk akal. Kami sentiasa berdiri teguh bersama kepimpinan tertinggi pusat termasuk Presiden, Datuk Hajiji; Timbalan Presiden, Datuk Seri Masidi Manjun; Naib-Naib Presiden, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, Datuk Rubin Balang, Datuk Masiung Banah serta kepimpinan pusat yang lain.

“Pimpinan dan akar umbi Gagasan Rakyat Membakut yang kini mempunyai 7,000 ahli rasmi akan bergerak bersama mendokong komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan PH Plus di DUN ini bagi memastikan kawasan ini dapat menyumbang satu kerusi untuk GRS menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17,” tegasnya.

Kenyataan itu sekali lagi menegaskan bahawa mereka dengan pendirian teguh menyifatkan desakan letak jawatan itu tidak berasas dan tidak relevan serta meminta kepimpinan pusat untuk tidak tunduk kepada desakan itu.