TAWAU: Sebuah Proton Saga yang dinaiki dua warga emas terbabas sendiri sebelum termasuk longkang dalam satu kejadian kemalangan jalan raya di Jalan Chong Thien Vun, di sini, pagi tadi.
Bagaimanapun, tiada kecederaan serius dilaporkan terhadap kedua-dua mangsa, iaitu Yee Yin Chuan, 79 tahun dan Liew Poh Chu, 78 tahun.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 8.47 pagi.
“Seramai lapan anggota pasukan Bomba dari BBP Tawau telah dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 6 kilometer dan tiba pada jam 8.57 pagi.
“Lapor setibanya di lokasi kejadian, didapati benar berlaku kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kereta jenis Proton Saga terbabas sendiri lalu termasuk ke dalam longkang.
“Kedua-dua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan berjaya dikeluarkan dengan selamat oleh pihak Bomba,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Walaupun tiada kecederaan, kedua mangsa tetap dikejarkan ke Hospital tawau dengan menaiki jentera EMRS untuk rawatan lanjut.
Setelah memastikan tiada bahaya lain wujud di lokasi kejadian, operasi seterusnya ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.07 pagi.