Advertisement

Ucapan Jeffrey Tiada Unsur Hasutan, Tapi Beri Semangat Pada Jentera Pemuda GRS Jaga Prinsip ‘Rumah Kita, Kita Jaga’ – Sabah News

KOTA KINABALU: Ucapan Timbalan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Dr. Jeffrey G. Kitingan semasa merasmikan Pelancaran Jentera Pemuda GRS tidak mengandungi sebarang unsur hasutan, tegas Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Jelas Nizam, sebaliknya, ucapan tersebut bertujuan memberi semangat kepada jentera pemuda berkenaan misi dan perjuangan parti dengan menekankan prinsip ‘Rumah Kita, Kita Jaga’.

Katanya lagi, prinsip ini menyeru pemuda untuk mempertahankan apa yang menjadi hak mereka dan berhati-hati dengan musuh dalam selimut yang cuba merampasnya.

“Persoalannya, mengapa Ketua UMNO Sabah begitu terkesan dengan ucapan ini? Adakah beliau secara tidak langsung mengakui bahawa UMNO adalah musuh dalam selimut untuk Kerajaan Negeri Sabah?

“Sebagai ahli politik yang berpengalaman, tidak wajar bagi Datuk Bung Moktar Radin menyerang Dr. Jeffrey secara peribadi dengan mengungkit perjalanan politiknya yang penuh liku. Apa kaitan perjalanan politik seseorang pemimpin dengan isu ini?,” soalnya.

Nizam yang juga ADUN Apas berkata, sebagai seorang pemimpin yang pernah menjadi sebahagian daripada Kerajaan GRS dan menang di DUN Lamag serta Parlimen Kinabatangan atas sokongan ahli ahli GRS, Bung sepatutnya menyokong prinsip ‘Rumah Kita, Kita Jaga’.

“Namun, nampaknya beliau masih sukar menerima hakikat bahawa era Barisan Nasional (BN) sudah berlalu. Kini adalah era GRS, dengan misi yang jelas dan perjuangan rakyat Sabah yang dipacu oleh Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya.

“Bung juga harus sedar bahawa rakyat Sabah kini semakin memberi sokongan kepada parti tempatan yang memahami keperluan dan aspirasi mereka.

“Serangan beliau terhadap prinsip ini hanya menonjolkan keresahan beliau dan UMNO terhadap sokongan rakyat yang semakin berkurangan,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Nizam berkata, seperti yang dinyatakan Dr. Jeffrey, rakyat Sabah perlu bersatu dengan pemimpin untuk menolak kaedah pecah dan perintah yang telah merosakkan pembangunan, ekonomi, dan sosial negeri ini selama puluhan tahun di bawah pentadbiran UMNO.

“Dr. Jeffrey berhujah berasaskan fakta, bukan retorik politik. Bung, sebagai wakil Parlimen Kinabatangan selama beberapa penggal, pastinya sedar kawasan tersebut masih mundur dan daif. Ini adalah bukti jelas kegagalan model pentadbiran yang beliau wakili.

“Lebih mengejutkan, Bung memberikan kepercayaan kepada rakaman video yang meragukan dan jelas memiliki motif politik. Adakah Bung sebahagian daripada komplot ini sehingga bertindak menjadi pendakwa dan hakim sekaligus?,” soalnya lagi.

Nizam yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri sekali lagi mengingatkan, sebagai pemimpin, Bung seharusnya lebih bijak memahami bahawa mana-mana rakaman video, audio, atau gambar yang telah disunting dan tidak memiliki kredibiliti tidak akan diterima sebagai bukti di mahkamah.

“Adalah lebih baik beliau sendiri fokus dengan tuduhan mahkamah yang sedang dihadapinya.

“Oleh itu, nasihat saya kepada Datuk Bung Moktar adalah supaya tidak menjaga tepi kain orang, fokus pada isu sebenar, dan patuh pada undang-undang negara tanpa membuat tuduhan melulu,” ujarnya.