KOTA KINABALU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah memberi bayangan akan kemungkinan berlaku perubahan kepimpinan di peringkat negeri sekali gus dijangkan akan mempengaruhi pimpinan dalam Pakatan Harapan (PH) Sabah.
Pengerusi Biro Politik PKR Sabah, Datuk Seri Christina Liew berkata, perkara tersebut sudah pun dibincangkan semasa kongres khas parti itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.
“Minggu lepas semasa kita ada kongres khas di Kuala Lumpur, kita sudah pun berbincang hal itu dengan Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kita juga adakan perbincangan sesama Majlis Pimpinan Negeri (MPN) dan Biro Politik kita.
“Tapi prosesnya masih berlangsung, jadi mohon bersabar, keputusan akan dimaklumkan kemudian,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Makan Malam MPN Sabah bersama Naib Presiden PKR, Nik Azmi Nik Ahmad di sini, pada Khamis.
Christina yang juga Ketua PKR Bahagian Api-Api bagaimanapun tidak mendedahkan perubahan tepat akan berlaku, tetapi difahamkan, pertukaran kepimpinan PKR Sabah juga mungkin akan mempengaruhi perubahan kepimpinan dalam gabungan PH Sabah.
Pada 1 Disember lalu, Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedict berjaya memenangi pemilihan jawatan Pengerusi PH Sabah dengan majoriti tiga undi menewaskan Christina yang memegang jawatan itu sejak 2017.
Ketika ditanya sama ada komponen PH Sabah yang lain dimaklumkan mengenai potensi perubahan kepimpinan itu, Christina berkata, adalah menjadi tanggungjawab Ketua PKR Sabah atau Pengerusi MPN Sabah, Datuk Mustapha Sakmud untuk berhubung dengan ahli gabungan itu.
“Difahamkan Mustapha kini berada di luar Sabah,” katanya lagi.