Advertisement

Kerajaan Negeri Terbuka Beri Kerjasama Mana-Mana NGO Khusus Dalam Bidang Dakwah, Pendidikan -Arifin – Sabah News

Arifin (tengah) bergambar kenangan bersama barisan AMT USIA

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri sentiasa terbuka dan akan memberi kerjasama baik kepada mana-mana badan bukan Kerajaan (NGO) khususnya dalam bidang dakwah dan pendidikan di Sabah.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, ia termasuklah usaha Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) yang terbukti dapat melaksanakan gerakan pembangunan dakwah dengan baik.

Katanya, Kerajaan juga akan membantu pertubuhan itu dalam merealisasikan pelan strategik pembangunan yang dirangka USIA.

“Apa yang penting bagi kita ialah, USIA ini adalah satu badan NGO yang besar dari sudut dakwah dan pendidikan dan saya harap USIA dapat berkolaborasi dengan kerajaan negeri Sabah.

“Kerajaan negeri akan sentiasa memberi bantuan dan kerjasama yang baik kepada USIA, kerana memang terbukti USIA dapat bergerak dan melaksanakan program-program secara bersama.

“Ia termasuklah bersama Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS); Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan sebagainya. Malah MUIS pada asasnya adalah daripada kewujudan USIA,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Penyampaian Watikah Ahli Majlis Tertinggi (AMT) USIA sesi 2025-2027 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.

Hadir sama Yang Dipertua USIA, Datuk Sapawi Ahmad dan Timbalan Yang Dipertua, Datuk Abdul Hakim Gulam Hassan.

Arifin yang juga Exco Agama dan Pendidikan Sabah berkata, keharmonian dan perpaduan juga perlu digerakkan dalam usaha dakwah yang berhemah selain kemasyakatan yang mengambil kira keadaan negeri ini yang pelbagai agama, kaum dan sebagainya.

“Ini dijadikan oleh USIA sebagai asas dalam melaksanakan visi dan misi melalui pelan dan strategik pembugaran USIA,” katanya.

Terdahulu, Sapawi dalam ucapannya menyatakan komitmen serta peranan USIA membantu agensi lain termasuk Majlis Agama Islam Sabah (MUIS) dan Jabatan Hal-Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).

“Kita akan memperkasa kolaborasi dengan agensi berkaitan dalam gerakan dakwah dan pembangunan ummah di negeri ini, tanpa melupakan agenda pendidikan.

“USIA akan membantu dan menjadi pelengkap kepada kerajaan negeri dalam memperkukuhkan lagi gerakan dakwah,” katanya.

Pada majlis itu, Sapawi turut mengumumkan pelantikan 22 AMT USIA sebagai tambahan kepada AMT yang dipilih dalam mesyuarat agung tahunan bulan lepas.