Advertisement

PBS Petagas Beri Sumbangan Krismas Kepada Gereja VFC Putatan – Sabah News

PUTATAN: Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian N.23 Petagas menyerahkan sumbangan kepada Victory Family Center (VFC) Putatan sempena sambutan Krismas yang bakal tiba.

Naib Ketua Pemuda PBS Petagas, Kent Anthony berkata, sumbangan tersebut adalah sebahagian daripada usaha PBS untuk memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat Sabah yang berbilang kaum dan agama.

“Kami di pihak PBS N.23 Petagas ingin melihat rakyat Sabah terus bersatu dalam pelbagai acara dan aktiviti. Kesempatan untuk bekerjasama dan bersatu ini akan membawa berkat kepada semua,” kata Kent.

Beliau menambah bahawa dengan membuka pintu kepada masyarakat majmuk, ia dapat memperkukuhkan keharmonian serta mendorong kemajuan negeri Sabah.

Sumbangan berupa biskut Krismas tersebut disampaikan oleh Ketua Bahagian yang juga Ahli Majlis Tertinggi (AMT) PBS, Azmi Ahmad kepada pemimpin gereja, Pastor Clement Buandi. Turut disampaikan ialah sumbangan wang tunai yang diterima oleh isteri Clement, Mariam Abi.

Dalam ucapannya, Pastor Clement menzahirkan rasa terima kasih atas keprihatinan PBS.

“Kami menghargai sumbangan biskut Krismas ini untuk meraikan perayaan Krismas. Kami juga berharap hubungan antara kerajaan, badan bukan kerajaan, dan pihak gereja akan terus terjalin erat demi kemajuan Sabah secara keseluruhan,” katanya.

Acara tersebut mencerminkan komitmen PBS dalam menyokong perpaduan masyarakat sambil menyemarakkan semangat perayaan Krismas di kalangan rakyat Sabah.