BEAUFORT: Pasukan sukarelawan bagi membantu mangsa-mangsa terlibat bencana khususnya banjir dicadang untuk diwujudkan terutama di kawasan-kawasan panas berisiko kerap banjir.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan Datuk Ruslan Muharam berkata, pasukan itu akan bertindak sebagai ‘orang pertama’ yang hadir membantu mangsa sebelum agensi penyelamat tiba.
“Kita akan mencadangkan supaya satu pasukan sukarelawan di wujudkan khususnya di zon Suasa ini kerana zon ini sangat panas kalau banjir, kawasan ini yang paling terkesan.
“Sudah tentu tujuan sukarelawan ini adalah bagi membolehkan mereka bertindak lebih cepat sebelum agensi-agensi kerajaan turun di lokasi terjejas banjir. Mereka akan bertindak apa yang perlu dibantu kepada mangsa-mangsa banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media hari ini selepas meninjau beberapa kawasan yang dinaiki banjir sejak semalam.
Ruslan yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) sekali lagi menyeru agar penduduk sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan banjir yang akan berlaku.
“Walaupun gelombang pertama dan gelombang kedua telah berlalu tapi melihat keadaan cuaca dan ramalan meteorologi yang mana sehingga 29 Disember ini taburan hujan akan berlaku di seluruh negeri Sabah termasuklah di daerah Beaufort ini.
“Maknanya kita perlu berwaspada dalam setiap masa kerana ada kemungkinan banjir akan berlaku pada bila-bila masa,” katanya.
Beliau turut meminta penduduk untuk sentiasa memastikan keselamatan agar sentiasa berada dalam keadaan yang baik.
“Kita memberi nasihat kepada rakyat dalam situasi banjir ini memang ramai rakyat kita mengambil kesempatan untuk mencari rezeki menangkap ikan dan sebagainya perlu menjaga keselamatan.
“Kerana arus Sungai Padas ini terlalu deras, mungkin nanti kita tersilap sedikit kita akan mungkin mengalami perkara-perkara yang tidak diingini,” katanya.